Susah payah belajar tinggi-tinggi, akhirnya AI yang buat kerja

Pelajar perlu dilatih dengan kemahiran yang tidak mudah digantikan oleh AI seperti kreativiti, pemikiran kritikal, kepimpinan dan empati.
Pelajar perlu dilatih dengan kemahiran yang tidak mudah digantikan oleh AI seperti kreativiti, pemikiran kritikal, kepimpinan dan empati.
A
A
A

MERAK Jalanan seronok melihat pelajar menerima keputusan cemerlang SPM minggu lepas. Ternyata, Malaysia masih belum ketandusan anak-anak bijak pandai untuk menjadi pelapis negara.

Selepas ini, sudah pasti mereka akan sibuk mencari tempat di institut pengajian tinggi. Malah, kerajaan turut menggalakkan lepasan SPM supaya menyambung pengajian dalam pelbagai bidang bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor di negara ini.

Tapi, apa gunanya usaha ini jika kebanyakan sektor kini lebih gemar menggunakan kecerdasan buatan (AI) berbanding mengambil pekerja manusia?

Hakikatnya AI semakin menggantikan tugas manusia dalam pelbagai sektor, daripada bidang perbankan, pemasaran, perkilangan hingga kepada perkhidmatan pelanggan.

Banyak kerja kini boleh dilakukan lebih cepat, murah dan cekap dengan bantuan mesin. Majikan pula lebih tertarik kepada teknologi ini kerana ia mengurangkan kos gaji dan meningkatkan produktiviti.

Situasi ini menimbulkan dilema besar. Adakah berbaloi menghabiskan masa bertahun-tahun di universiti, berhutang dengan pinjaman pendidikan, sedangkan peluang kerja semakin mengecil?

Ramai graduan yang akhirnya menganggur atau terpaksa bekerja dalam bidang tidak memerlukan kelayakan akademik tinggi. Ini bukan sahaja membazirkan potensi generasi muda, malah mereka merasakan pelajaran tinggi hanya sekadar ‘syarat’, bukan jaminan masa depan.Justeru, Merak Jalanan terfikir, mungkinkah sistem pendidikan kita perlu disemak semula supaya selari dengan keperluan sebenar dunia kerja masa kini?

Pelajar perlu dilatih dengan kemahiran yang tidak mudah digantikan oleh AI seperti kreativiti, pemikiran kritikal, kepimpinan dan empati. Budaya keusahawanan juga patut diterapkan sejak di bangku sekolah supaya anak-anak muda sedia mencipta peluang sendiri.

Benar, teknologi tidak boleh dielakkan, tetapi jangan kita biarkan teknologi melunturkan kemahiran manusia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!