Pelajar yatim, cemerlang SPM terima lesen D, B2 percuma

Pelajar yatim dan cemerlang SPM 2024 teruja apabila terpilih menerima tajaan lesen kenderaan jenis D dan B2 percuma daripada AmKist di Bachok pada Selasa.
Pelajar yatim dan cemerlang SPM 2024 teruja apabila terpilih menerima tajaan lesen kenderaan jenis D dan B2 percuma daripada AmKist di Bachok pada Selasa.
A
A
A

BACHOK - Pelajar yatim dan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 teruja apabila terpilih menerima tajaan lesen kenderaan jenis D dan B2 secara percuma daripada Akademi Memandu Kist (AmKist) di sini pada Selasa.

Salah seorang pelajar itu, Siti Noraisya Abdul Jalil, 18, dari Kampung Salor, Kota Bharu berkata, sebelum ini dia menunggang motosikal tanpa lesen untuk berulang-alik ke sekolah.

"Bukan tidak mahu buat lesen, tetapi keluarga angkat tidak berkemampuan.

"Bila dapat tahu dapat lesen D dan B2 percuma, saya sangat teruja dan merasa selamat serta lebih yakin berada di jalan raya selepas ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Lesen D dan B2 yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Apandi @ Sanusi Jusoh di sini pada Selasa.

Menurut Siti Noraisya yang memperoleh 7A dan 1B dalam SPM, dia dijaga oleh keluarga angkat sejak kecil. Ayah angkatnya, Mohd Kasim Ismail, 74, mengalami strok sejak dua tahun lalu, manakala ibu angkatnya, Rahimah Ghazali, meninggal dunia tiga tahun lalu.

Ujarnya, dibesarkan dalam keluarga besar iaitu seramai 12 adik-beradik menyebabkan keluarga angkatnya tidak mampu membayar kos untuk mendapatkan lesen kenderaan.

Begitu juga bagi pelajar cemerlang SPM, Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, dari Tanah Merah yang memperoleh 9A, dia langsung tidak terfikir akan mengambil lesen motosikal mahupun kereta dalam masa terdekat.

"Bagi saya, ini biar dahulu. Sekarang hendak fokus sambung belajar, pasti akan guna banyak duit.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi bila dapat panggilan dari AmKist memaklumkan mereka akan menaja saya, alhamdulillah, saya sangat teruja dan anggap ini rezeki serta dapat meringankan beban keluarga angkat yang telah banyak berkorban selama ini," katanya yang dibesarkan oleh empat keluarga angkat sebelum ini.

Menurutnya, ayah angkatnya mempunyai enam orang anak dan memerlukan lebih banyak perbelanjaan.

Sementara itu, Pengurus Pengurusan AmKist, Nurul Hidayat Mohd Kasim berkata, kos setiap peserta adalah sebanyak RM1,800 seorang, melibatkan seramai lapan pelajar yatim dan cemerlang SPM 2024.

"Mereka dipilih dari seluruh Kelantan dan ia merupakan inisiatif kami untuk meraikan kecemerlangan mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!