PERDIM bantah cadangan paparan harga ubat di klinik swasta
SHAH ALAM - Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) membantah cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan paparan harga ubat di semua klinik swasta mulai 1 Mei ini.
Presidennya, Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, langkah itu disifatkan tidak munasabah dan membebankan selain membuka ruang kepada kekeliruan serta tindakan hukuman yang tidak wajar.
Menurut beliau, cadangan itu tidak mengambil kira realiti operasi klinik swasta dan berpotensi menyulitkan aspek pentadbiran, selain mewujudkan pertindihan bidang kuasa antara agensi.
"Cadangan penguatkuasaan ini dibuat melalui Akta 723 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) yang dilihat sebagai campur tangan agensi luar dalam sektor kesihatan.
“Penglibatan KPDN melalui akta ini boleh menyebabkan kekeliruan kerana ia bertindan dengan akta sedia ada yang mengawal perkhidmatan klinik swasta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dr Boi Saidi menjelaskan, cadangan itu bukan sahaja menyukarkan pelaksanaan, malah boleh mengundang tindakan undang-undang ke atas kesalahan kecil tanpa budi bicara.
Tambahnya, Malaysia tidak mempunyai kawalan harga ubat rasmi menjadikan penguatkuasaan berdasarkan Akta 723 sebagai sesuatu yang tidak praktikal dan tidak berasas.
"Bagaimana klinik boleh dipertanggungjawabkan atau dikenakan kompaun sedangkan tiada harga ubat standard yang ditetapkan kerajaan?.
"Klinik swasta perlu diberi ruang untuk menetapkan harga berdasarkan kos operasi dan bekalan masing-masing,” katanya.
Dr Boi Saidi turut menegaskan bahawa tiada sebarang akta ketika ini yang mengawal urus tadbir syarikat insurans, pengendali pihak ketiga (TPA) dan pengurus kos perubatan (MCO), yang secara langsung mempengaruhi harga rawatan dan ubat di klinik swasta.
Beliau menjelaskan, paparan harga ubat juga tidak memberi kesan besar kepada pengguna kerana harga sebenar rawatan bergantung kepada banyak faktor seperti diagnosis, jenis ubat yang digunakan serta tempoh rawatan.
“Paparan harga ubat tidak menggambarkan kos keseluruhan rawatan dan ia hanya akan mengelirukan pesakit, sedangkan tujuan asal adalah untuk memberi ketelusan,” jelasnya.
Sehubungan itu, PERDIM mencadangkan langkah paparan harga ubat hanya dilaksanakan melalui pekeliling dalaman kementerian secara pilihan kepada pemilik klinik tanpa disandarkan kepada sebarang akta yang membawa ancaman hukuman.
“Kami tidak menolak ketelusan harga, tetapi pendekatan yang digunakan perlu bersesuaian dan jadikan ia alat menghukum.
"Klinik swasta sudah pun melalui pelbagai cabaran pasca pandemik dan penambahan beban bukan jalan penyelesaian,” tegasnya. PERDIM turut menyeru agar KKM membuka ruang dialog dan perbincangan lanjut dengan semua pihak berkepentingan.
"Pelaksanaan sebarang dasar baharu perlu diteliti secara menyeluruh terutama yang menyentuh operasi perkhidmatan kesihatan swasta," tegas beliau.
Pada 7 April lalu, lapan persatuan perubatan, termasuk MMA dan Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia membantah langkah untuk menggunakan Akta 723 terhadap sektor penjagaan kesihatan swasta.
MMA dilaporkan berkata penggunaan Akta 723 itu juga tidak dilaksanakan secara seragam seperti sektor-sektor lain yang sudah diletakkan di bawah akta berkenaan dan ini suatu bentuk penyalahgunaan kuasa serta beban yang tidak wajar.
Sebelum ini, dilaporkan hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka mulai 1 Mei depan, selaras dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

