GIS lebih berkesan tangani isu rumah ibadat - Pakar

SHAH ALAM - Penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) jauh lebih praktikal dan berkesan dalam menangani isu rumah ibadat bukan Islam (RIBI) berbanding penubuhan Jawatankuasa RIBI yang dicadangkan sesetengah pihak.
Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, sejak zaman penjajahan British lagi, soal agama diserahkan kepada pentadbiran negeri masing-masing, termasuk untuk agama Islam dan lain-lain kepercayaan.
Katanya, tradisi itu tidak pernah berubah sehingga kini dan setiap agama sepatutnya membentuk pentadbiran dalaman sendiri bagi menguruskan rumah ibadat masing-masing.
“Selama ini aturan itu tidak berubah. Apa alasan penubuhan lembaga khas untuk rumah ibadah bukan Islam?
“Seharusnya masing-masing agama menubuhkan pentadbiran dalam mengendalikan bangunan ini.
“Langkah pertama pentadbiran ini perlu buat senarai lengkap rumah ibadat yang sedia ada di seluruh negara. Siap dengan peta lokasi menggunakan penggunaan teknologi GIS,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan satu Lembaga Penasihat Agama Bukan Islam di peringkat nasional bagi menangani isu-isu berkaitan rumah ibadat dan sensitiviti agama bukan Islam secara lebih tersusun, sistematik dan inklusif.
Katanya, cadangan agar kewujudan lembaga ini dapat melengkapi peranan struktur sedia ada di peringkat negeri seperti RIBI.
Dalam pada itu, Shamsul Amri berkata, senarai lengkap rumah ibadat menggunakan GIS perlu mengandungi maklumat terperinci termasuk lokasi setiap bangunannya untuk semua agama di seluruh negara.
Jelasnya, pendekatan itu penting kerana isu rumah ibadat bukan Islam perlu dilihat secara praktikal dan berasaskan data, bukan semata-mata melalui penubuhan badan pentadbiran baharu.
“Dengan menggunakan GIS, kena sediakan senarai lengkap rumah agama; di mana lokasi tepat; kategorikan ikut saiz bangunan dan saiz penganut yang gunakan setiap bangunan; bagaimana setiap rumah agama ditadbir dan siapa membiayainya, anggaran biaya serta badan lain yang terlibat membantu seperti badan bukan kerajaan (NGO).
“Sediakan senarai ini dahulu, kalau tidak macam mana nak tahu besar atau kecil masalah yang timbul...berhenti bercakap dan tunjuk bukti.
“Tanpa senarai lengkap rumah ibadat, untuk semua agama di lokasi fizikal yang boleh dipetakan melalui sistem GIS, kita tidak boleh selesaikan masalah...kerana kita tidak tahu besar atau kecil masalah yang timbul,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!