Teknologi Indonesia tangani isu ban rebak di Bagan Pasir

Keadaan ban rebak di Bagan Pasir yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Gambar kecil: Zulkafperi
Keadaan ban rebak di Bagan Pasir yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Gambar kecil: Zulkafperi
A
A
A

TANJONG KARANG – Masalah ban rebak di Bagan Pasir di sini yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu dijangka dapat diselesaikan menggunakan teknologi pembinaan dari Indonesia.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi berkata, teknologi itu membabitkan pembinaan laluan terapung (floating bridge) bagi menggantikan kaedah konvensional yang terbukti gagal menangani masalah tanah mendap di kawasan berkenaan.

Menurutnya, struktur tanah di kawasan itu yang bersifat jerlus menyebabkan setiap kali kerja baik pulih menggunakan cerucuk konkrit dilakukan, struktur berkenaan tetap mendap ke bawah.

"Kita telah membelanjakan hampir RM9 juta sebelum ini untuk kerja baik pulih termasuk pemasangan cerucuk, namun tidak membuahkan hasil.

"Sebanyak mana pun kita tambak, tanah tetap turun, sebab itu kita kini menilai teknologi dari Indonesia yang menggunakan konsep lantai terapung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan penduduk Bagan Pasir susulan kejadian ban berhampiran yang rebak, sekali gus berisiko menyebabkan kawasan rendah seperti jalan raya dilanda banjir.

Beliau memberitahu, konsep itu juga digunakan dalam pembinaan jambatan atau kilang di kawasan tanah lembut yang kekal kukuh sejak ratusan tahun.

Zulkafperi berkata, buat masa ini, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersama jurutera sedang menilai keupayaan teknologi tersebut sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, laluan di kawasan ban rebak sepanjang kira-kira 150 hingga 200 meter itu sangat penting kepada penduduk sekitar kerana ia merupakan jalan utama menghubungkan Bagan Pasir dengan kawasan sekitarnya.

"Kalau tidak diselesaikan segera, ia boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk dalam jangka panjang.

"Setakat ini tiada rumah penduduk yang terjejas, cuma laluan ini yang bermasalah," katanya.

Ditanya mengenai kos anggaran pembinaan menggunakan teknologi itu, Zulkafperi berkata, ia masih dalam peringkat penilaian dan belum dimuktamadkan.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian kekal perlu diusahakan kerana pendekatan sedia ada hanya bersifat sementara dan membazirkan wang rakyat.

"Kita harap dengan teknologi baharu ini, masalah ban rebak di Bagan Pasir akan dapat diatasi secara menyeluruh demi kemudahan penduduk," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!