Rafidah pilih tidak komen isu tuntutan maaf Khalid Samad

Laporan Sinar Harian berkaitan Khalid Samad tuntut Rafidah mohon maaf, tarik balik tuduhan dan bayar ganti rugi.
Laporan Sinar Harian berkaitan Khalid Samad tuntut Rafidah mohon maaf, tarik balik tuduhan dan bayar ganti rugi.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan pelakon, Rafidah Ibrahim memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan berhubung tuntutan maaf dikemukakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berhubung dakwaan berkaitan isu tanah di Kampung Sungai Baru, di sini.

Rafidah hanya memberikan jawapan ringkas, “no komen” ketika diminta Sinar Harian mengulas kenyataan Khalid yang mendakwa beliau telah membuat tuduhan tidak berasas melalui video di platform TikTok.

Sebelum ini, Khalid dalam satu sidang media mendakwa Rafidah menuduh beliau berniat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta mahu menghapuskan status tanah rizab Melayu bukan sahaja di Kampung Sungai Baru, malah di seluruh Kampung Baru.

Menurut beliau, dakwaan tersebut disifatkan sebagai tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab memandangkan isu Kampung Baru jauh berbeza daripada isu berkaitan tanah rizab Melayu secara umum.

“Walaupun orang kata dia buat TikTok menarik tapi fakta semua ke laut,” kata Khalid, yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Tambahnya lagi, surat tuntutan telah dihantar kepada Rafidah pada 17 April lalu yang mengandungi tuntutan supaya beliau memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataan terdahulu serta membayar ganti rugi.

“Kalau dia masih tak dapat surat tuntutan itu, manalah tahu dia lari atau pindah dan kalau tak dapat jumpa di rumahnya, kita akan serahkan di tengah jalan atau di mana-mana lokasi dia sedang buat siaran langsung TikTok,” sindirnya.

Rafidah sebelum ini memuat naik video di TikTok yang memaparkan dirinya mengelilingi kawasan Kampung Sungai Baru sambil menggunakan pembesar suara menyuarakan bantahan terhadap pembangunan semula kawasan tersebut dan menggesa penduduk supaya terus menetap di situ.

Setakat ini, belum ada kenyataan lanjut daripada Rafidah atau wakil undang-undang yang mewakili pihaknya berhubung tindakan yang bakal diambil susulan tuntutan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!