Tarif Trump: Malaysia tangani secara bijaksana di Sidang Khas Parlimen

KANGAR – Malaysia berusaha menangani isu tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) secara bijaksana dan strategik, sambil mengekalkan hubungan antarabangsa yang sederhana.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak bersetuju dengan kenaikan tarif yang ditetapkan secara unilateral oleh AS, kerana ia berpotensi menjejaskan ekonomi Malaysia.
"Kita terikat dengan WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ini yang disebut multilateral, kita gabung dengan banyak negara.
"Kita terpaksa terima kenyataan dan tangani dengan bijaksana,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Dataran Lok 9, Kuala Perlis pada Ahad.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat pada majlis itu.
Menurut Perdana Menteri, kenaikan tarif yang dikenakan boleh menyebabkan harga barangan Malaysia di AS menjadi lebih mahal, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.
"Oleh sebab itu, hubungan antarabangsa dengan AS dan negara lain harus kekal sederhana supaya jangan menjejaskan kehidupan rakyat, pekerjaan mereka dan pertumbuhan ekonomi. Untuk apa pertumbuhan ekonomi ini? Untuk pastikan keselesaan kepada rakyat, ini kita lakukan,” ujarnya.
Namun begitu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa keputusan kenaikan tarif tersebut telah ditangguhkan selama 90 hari, memberi ruang kepada Malaysia untuk terus berunding dengan AS bagi mencari penyelesaian yang lebih adil.
“Syukur Alhamdulillah, kita diberi sedikit masa untuk bernafas. Negara jiran seperti Thailand, Kemboja, Myanmar, dan Indonesia tertekan dengan tarif yang lebih tinggi. Kita akan terus berusaha agar keputusan ini tidak menjejaskan rakyat,” katanya.
Jelasnya, Malaysia adalah antara pengeluar utama semikonduktor, dan lebih 60 peratus eksport Malaysia ke AS melibatkan nilai melebihi RM140 bilion.
Bagi menangani isu ini dengan lebih baik, Anwar berkata Sidang Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei berhubung perkara tersebut.
Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah yang diambil perlu dibincangkan bersama Ahli Parlimen demi memastikan rakyat memahami pendekatan kerajaan.
“Ini adalah masa untuk semua pihak, parti politik dan rakyat fokus kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kita mampu menjadi negara contoh dengan syarat kita bersatu dan bekerja kuat untuk mengangkat martabat ekonomi kita,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!