AS belum sedia turunkan tarif import dari Singapura

SINGAPURA - Amerika Syarikat (AS) masih belum bersedia menurunkan tarif 10 peratus ke atas barangan import dari Singapura, namun kedua-dua negara bersetuju untuk terus mendalami hubungan ekonomi secara positif dan berbincang mengenai jalan penyelesaian praktikal.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong berkata demikian dalam satu hantaran di LinkedIn pada Sabtu, selepas mengadakan mesyuarat maya bersama Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick pada Jumaat.
Kim Yong menyifatkan perbincangan itu sebagai 'berhasil', di mana beliau menekankan bahawa perdagangan dua hala dan pelaburan Singapura di AS telah menyokong kira-kira 350,000 peluang pekerjaan untuk rakyat AS, selain mencatatkan lebihan perdagangan AS$30 bilion (kira-kira RM131 bilion) memihak kepada AS pada tahun lalu.
“Lutnick mengiktiraf hubungan perdagangan yang cemerlang dan seimbang antara Singapura dan Amerika Syarikat,” katanya.
Walaupun AS tidak bersedia menurunkan tarif tersebut, Kim Yong berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka peluang memperdalam hubungan ekonomi dan terus berbincang mengenai pendekatan yang boleh diambil.
Kim Yong yang turut mempengerusikan Pasukan Petugas Ketahanan Ekonomi Singapura mempelawa Lutnick untuk mengadakan lawatan ke Singapura bagi mengukuhkan lagi perkongsian perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump telah mengenakan tarif baharu secara meluas ke atas banyak negara, termasuk cukai 10 peratus terhadap import dari Singapura yang berkuat kuasa pada 5 April. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!