Malaysia bincang dengan AS isu tarif timbal balik - Johari

KOTA BHARU - Malaysia tengah berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) susulan langkah Presiden, Donald Trump mengenakan tarif timbal balik ke atas seluruh negara termasuk Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, isu tersebut menyebabkan semua negara dunia terkesan.
"Kita Malaysia kena 10 peratus campur 24 peratus, Vietnam pula kena 10 peratus campur 56 peratus. Lain-lain negara, macam-macam peratusan.
"Untuk tarif 24 peratus kita tidak akan kena apa-apa dalam 90 hari ini, cuma 10 peratus sahaja. Sebagai negara kecil dan penduduk tidak ramai, kita tengah bincang (dengan AS)," katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Lembakau Negara Tahun 2025 di sini pada Ahad.
Media melaporkan pada 25 April, potensi penurunan atau sifar tarif timbal balik bagi Malaysia dijangka menjadi antara hasil positif utama rundingan di antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Perintah Presiden yang ditandatangani Donald Trump pada Hari Pembebasan, secara jelas membenarkan rundingan yang boleh menjurus kepada pengurangan atau pemansuhan tarif timbal balik, dan inilah janji dan galakan yang dinyatakan AS.
Ahli Ekonomi, Profesor Dr Geoffrey Williams berkata, penangguhan sementara pelaksanaan tarif selama 90 hari baru-baru ini memberikan peluang untuk Malaysia berunding bagi mendapatkan terma perdagangan lebih baik, yang berpotensi meningkatkan daya saing perdagangan global negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

