Tarif Trump: Tun M saran kerajaan luaskan perdagangan ke negara lain

Dr Mahathir menunjukkan barangan yang terkandung dalam kapsul masa yang ditanamnya di Menara Kuala Lumpur kira-kira tiga dekad lalu.
Dr Mahathir menunjukkan barangan yang terkandung dalam kapsul masa yang ditanamnya di Menara Kuala Lumpur kira-kira tiga dekad lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan agar Malaysia memperluas pasaran perdagangan ke negara-negara lain susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import tinggi ke atas barangan dari Malaysia.

Beliau berkata, tarif baharu yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump akan menyebabkan produk Malaysia dijual pada harga lebih tinggi di negara itu, sekali gus memberi kesan kepada syarikat pengeluar tempatan.

“Kalau mereka tak beli barangan kita, jualan kita menurun, ini akan memberi kesan kepada syarikat. Saham syarikat akan jatuh.

“Ini buat sementara. Kalau saham syarikat kita jatuh kerana pasaran kurang, kita harus berusaha menjual barangan kepada negara-negara lain selain Amerika Syarikat,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, dagangan Malaysia perlu ditingkatkan dengan negara-negara yang tidak mengenakan tarif tinggi supaya ekonomi negara kekal stabil dan berkembang.

“Mereka tak kenakan tarif yang tinggi, jadi dagangan kita dengan negara-negara lain patut (lebih) berkembang,” katanya pada sidang media sempena program pembukaan kapsul masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan tarif baharu AS ke atas ekonomi Malaysia serta langkah yang perlu diambil negara bagi menghadapinya.

Trump pada 2 April lalu mengumumkan pelaksanaan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua negara manakala duti import lebih tinggi dikenakan terhadap beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

Bagaimanapun, AS memberi penangguhan selama 90 hari terhadap pelaksanaan tarif itu kepada 75 negara, termasuk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan kebimbangan berhubung kesan langsung tarif import AS terhadap hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan China.

Anwar berkata, langkah AS mengenakan cukai dan tarif tinggi ke atas beberapa negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa termasuk Malaysia akan menjejaskan kestabilan ekonomi serantau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!