Pantai Cherating bakal jadi destinasi luncur ombak bertaraf antarabangsa

KUANTAN – Pantai Cherating yang suatu ketika dahulu menjadi aset pelancongan dunia, dirancang untuk dijenamakan semula sebagai pantai luncur ombak bertaraf antarabangsa bagi mengembalikan kegemilangannya di persada global.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, usaha itu bagaimanapun perlu disokong dengan pembangunan fizikal melibatkan kemudahan, infrastruktur dan penganjuran program berterusan.
Menurutnya, Cherating merupakan satu-satunya lokasi pantai luncur ombak di negara ini dengan aktiviti sukan air berlangsung sepanjang tahun.
"Biasanya sukan luncur ombak di sini berlangsung dari November hingga Mac, manakala sukan luncur layang-layang dan luncur angin dari April hingga Oktober.
"Lokasi pelancongan ini turut menawarkan pelbagai produk dan tarikan seperti eko pelancongan, pusat santuari penyu, aktiviti melihat kunang-kunang, pelancongan budaya, gastronomi serta penginapan bertaraf lima bintang dan chalet," katanya kepada Sinar Harian.
Yu Man berkata, bagi membangunkan potensi pantai itu, beberapa aspek perlu diberi tumpuan termasuk pembangunan kemudahan infrastruktur, akses sah ke pantai, penyelesaian lot individu yang terbiar serta program dan promosi berterusan.
Jelasnya, perancangan untuk menjadikan Cherating sebagai pantai bertaraf antarabangsa telah digariskan dalam Kajian Daya Saing 2022 dan Rancangan Tempatan Daerah Kuantan (RTD) 2035.
"Mengambil kira potensi dan isu yang ada, perancangan tersebut diterjemahkan kepada tindakan di bawah tiga strategi utama iaitu projek dan program pemangkin kerajaan, pelaburan swasta, serta pemerkasaan komuniti.
"Antara projek fizikal yang sedang dilaksanakan ialah kerja naik taraf Pusat Santuari Penyu oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dijangka siap Jun tahun ini.
"Selain itu, pembinaan kemudahan kajian kunang-kunang Cherating melalui Pemindahan Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) dan pembinaan kemudahan pengadilan sukan luncur serta menara keselamatan menggunakan caj lestari melalui Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) juga sedang dilaksanakan," katanya.
Tambah beliau, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah mengemukakan permohonan peruntukan RM10 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk pembinaan kemudahan dan infrastruktur pelancongan di Cherating.
"Kemudahan itu meliputi akses sah ke pantai, tempat letak kereta awam, dataran kejatan, menaik taraf siar kaki, jalan dan persimpangan masuk.
"Pada masa sama, MBK bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan (PDT) sedang memproses rizab pantai dan pengambilan semula tanah bagi tujuan pembangunan tersebut," katanya.
Menurut Yu Man lagi, permohonan projek 'Cherating Jungle Trail' di bawah EFT Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri (BPEN) dengan nilai RM1 juta juga sedang diusahakan untuk melindungi ekosistem hutan pesisir pantai yang kaya dengan biodiversiti flora dan fauna bagi tujuan eko pelancongan dan edutourism.
"Pembangunan pintu masuk Pahang-Terengganu turut disifatkan sebagai keperluan segera bagi melengkapkan ekosistem pelancongan di kawasan tersebut.
"Dalam usaha menarik pelaburan, Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) diberi kepercayaan untuk membangunkan sektor pelancongan di atas tanah Kompleks Budaya sedia ada selain mengintai peluang pembangunan tanah individu yang terbiar," katanya.
Beliau berkata, MBK juga akan meneruskan penganjuran Pertandingan Luncur Antarabangsa bersama MOTAC, Tourism Pahang dan komuniti setempat.
Leong turut menegaskan bahawa pembangunan sukan air, pelancongan rekreasi dan pengembaraan memerlukan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"MBK, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Jabatan Kraftangan Malaysia juga memainkan peranan penting dalam mengembangkan warisan budaya tempatan melalui persembahan seni dan kraftangan.
"Penghargaan diberikan kepada semua agensi yang memberi kerjasama dalam usaha membangunkan pelancongan Cherating yang lestari dan berdaya saing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!