Harimau Malaya bakal jadi pasukan paling cergas di Asia - Duncan

KETUA Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan mempunyai sasaran menjadikan pasukan Harimau Malaya sebagai skuad yang mempunyai pemain dengan tahap kecergasan terbaik di Asia.
Menurutnya, untuk menuju ke arah tersebut akan memakan masa yang panjang, namun tidak mustahil akan berjaya dicapai berdasarkan strategi dan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia yang akan diterapkan dalam pasukan kebangsaan.
“Sasaran saya adalah untuk menjadikan pasukan kebangsaan Malaysia sebagai pasukan paling cergas di Asia. Ketika ini, perjalanan kita masih panjang.
“Tetapi kita akan sampai ke tahap tersebut. Ini semua berkait dengan strategi yang bakal kita guna pakai.
"Usaha ini harus selari dengan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan di laman media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Mengulas lanjut, Duncan yang mempunyai pengalaman luas terutama dalam bidang perubatan sudah mula merancang untuk menerapkan rangka kerja bertaraf dunia tersebut dalam struktur organisasi baharu pasukan kebangsaan.
“Pengalaman saya amat luas. Saya pernah bekerja dengan beberapa negara sebelum saya membuat keputusan untuk menyertai revolusi pasukan kebangsaan Malaysia ini.
“Secara asasnya, tugas selaku ketua prestasi tinggi adalah menguruskan perkara-perkara berkaitan dengan sains sukan, sains perubatan, kecergasan, nutrisi dan juga psikologi pemain.
“Bagi saya, semua aspek tersebut amat penting untuk memaksimumkan prestasi setiap pemain bagi membantu tugas ketua jurulatih, Peter Cklamovski,” katanya.
Dalam pada itu, Duncan berkata, beliau kagum dengan visi pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi menjayakan revolusi pasukan kebangsaan.
“Saya sangat teruja setelah bertemu dengan ahli pasukan saya termasuk fisioterapi, jurulatih kecergasan serta bahagian perubatan sains sukan.
“Saya tahu yang kami boleh bekerjasama dan menghasilkan lebih banyak aspek positif dalam pasukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!