Pasar Terapung bakal jadi tarikan baharu Kampung Labu Lanjut

SEPANG – Penduduk Kampung Labu Lanjut kini berpeluang menikmati perubahan besar melalui Program Kampung Angkat Madani, dengan perancangan untuk memperkenalkan Pasar Terapung sebagai produk pelancongan baharu yang dijangka melonjakkan ekonomi setempat.
Program berimpak tinggi ini, yang dianjurkan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di bawah Pejabat Perdana Menteri, dilancarkan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Kampung Labu Lanjut terpilih sebagai salah satu daripada 200 kampung di seluruh negara untuk pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani tahun 2025 yang bertujuan memperkasa pembangunan komuniti dari segi infrastruktur, sosioekonomi dan pendidikan.
Menurut Ketua Pengarah AKM, Datuk Dr Roslan Hussin, program ini bukan hanya menumpukan kepada kemudahan asas seperti jalan raya, lampu, dan capaian internet tetapi juga kepada pembangunan sosial. Ini termasuk penyelarasan bantuan rakyat melalui program Sara, pendidikan untuk kanak-kanak tercicir, serta pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
"Kami di AKM percaya, membina negara bermula dengan membina semula komuniti. Pendekatan Kampung Angkat Madani adalah menyeluruh, bukan sahaja mengukuhkan prasarana fizikal, malah memperkasa kekuatan sosial masyarakat," katanya dalam majlis pelancaran yang diadakan di kampung itu pada Ahad.
Antara projek utama yang dijangka diberi keutamaan di Kampung Labu Lanjut ialah pembinaan Pasar Terapung, sebuah konsep menarik yang dijangka mampu menjadi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa.
"Cadangan pembinaan Pasar Terapung ini bukan sahaja diharap dapat meningkatkan pendapatan penduduk tetapi juga memperkenalkan gaya hidup desa yang unik kepada pengunjung luar atau antarabangsa," jelasnya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Borhan menekankan bahawa kekuatan komuniti desa seperti yang terdapat di Kampung Labu Lanjut adalah kunci kepada kejayaan ekonomi Selangor, yang mencatatkan sumbangan tertinggi kepada KDNK negara pada tahun 2023, iaitu sebanyak 25.9 peratus atau RM406.1 bilion.
Program Kampung Angkat Madani turut membawa pendekatan '1 pemimpin 1 kampung', di mana setiap pemimpin agensi kerajaan bertanggungjawab untuk memilih dan membangunkan kampung asal mereka, memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus kemajuan negara.
Dengan idea kreatif seperti Pasar Terapung, Kampung Labu Lanjut bersedia untuk melakar masa depan yang lebih cerah, memperkukuh identiti desa sambil membuka peluang ekonomi baharu buat penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

