Kerajaan rangka agenda kemajuan Wilayah Persekutuan 2025 - Dr Zaliha

Dr Zaliha (tengah) bersama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPJ), Datuk Fadlun Mak Ujud bergambar bersama sebahagian para peserta Program Langkah Ceria sempena Car Free Day Realisasi Misi Bandar Rendah Karbon di Dataran Putrajaya pada Ahad. Foto Bernama
Dr Zaliha (tengah) bersama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPJ), Datuk Fadlun Mak Ujud bergambar bersama sebahagian para peserta Program Langkah Ceria sempena Car Free Day Realisasi Misi Bandar Rendah Karbon di Dataran Putrajaya pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang merangka pelbagai inisiatif dan agenda khusus untuk memajukan Wilayah Persekutuan pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, dengan menginjak usia 51 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan, setiap agensi telah diminta menetapkan sasaran dan fokus untuk mengembangkan potensi tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

"Kita telah menetapkan sasaran masing-masing untuk setiap agensi di bawah Wilayah Persekutuan agar kita dapat memberi tumpuan dan keutamaan pada 2025," katanya kepada pemberita selepas Program Car Free Day (CFD) di sini pada Ahad.

Sempena sambutan Hari Wilayah 2025, Dr Zaliha mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai pelbagai program yang telah dirangka sepanjang Februari ini.

"Wilayah Persekutuan kali ini menyambut ulang tahun penubuhan ke-51. Tema yang kita pilih ialah 'Wilayah Persekutuan Kita'," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tema 'Wilayah Persekutuan Kita' bertujuan untuk mengajak semua warga, dari pelbagai peringkat umur dan kategori, bekerjasama membina Wilayah Persekutuan ke arah kesejahteraan dan kemampanan.

Sebelum ini, Dr Zaliha dilaporkan berkata, kira-kira 72,000 bendera Wilayah Persekutuan akan diagihkan di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51 pada 1 Februari ini.

Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Februari 1974, apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pertama, diikuti Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001.

Artikel Berkaitan:

Penubuhan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini mempunyai fungsi khusus, iaitu Kuala Lumpur sebagai ibu negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran persekutuan, dan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!