Suhu dijangka lebih 45 darjah Celsius sepanjang musim haji

MADINAH – Jemaah haji diingatkan supaya minum air secukupnya berikutan suhu dijangka melebihi 45 darjah Celsius sepanjang musim haji bagi tahun 1446H/2025M.
Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah berkata, jemaah haji juga dinasihatkan menjaga kesihatan diri sebelum dan selepas tiba di Madinah.
“Tahun ini keadaan cuaca panas dan kering. Suhu dijangka melebihi 45 darjah Celsius, sebelum ini pernah cecah sehingga 49 darjah Celsius.
“Jemaah dinasihatkan minum air secukupnya. Mudah-mudahan jemaah haji bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menunaikan ibadah ini,” katanya ketika sidang akhbar di Hotel Emaar Royal, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Affandi turut meminta jemaah haji mematuhi peraturan sedia ada pihak berkuasa Arab Saudi.
Beliau berkata, pihak Tabung Haji juga ada menetapkan peraturan-peraturan tertentu ketika berada di bangunan penginapan dan sebagainya.
“Jemaah akan ditempatkan antara empat hingga lima orang dalam sebuah bilik hotel penginapan.
“Diingatkan jemaah supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan dan juga yang ditetapkan oleh Tabung Haji,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!