Lebih RM7.3 juta kerugian akibat kebakaran di Terengganu

KUALA TERENGGANU - Terengganu merekodkan kerugian dianggarkan melebihi RM7.3 juta akibat kebakaran dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, statistik JBPM menunjukkan nilai taksiran kerugian bermula Januari hingga Mac 2025 berjumlah RM7,398,660, melibatkan pelbagai kategori kebakaran.
Katanya, daripada jumlah itu, kerugian tertinggi direkodkan pada Mac dengan nilai RM4,256,010, berbanding RM2,060,700 pada Februari dan RM1,081,950 pada Januari.
"Dalam tempoh sama, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan harta benda dianggarkan bernilai lebih RM9 juta, dengan nilai penyelamatan tertinggi turut dicatatkan pada bulan Mac," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, antara kategori kebakaran yang menyumbang kepada jumlah kerugian itu ialah kebakaran bangunan dan isinya, kenderaan, alat perkakas, mesin, serta kebakaran terbuka melibatkan belukar dan lalang.
Tambahnya, sepanjang Januari hingga 21 April, sebanyak 599 kes kebakaran dilaporkan di seluruh negeri, dengan kebakaran belukar dan lalang mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 314 kes.
"Bulan Mac menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah kes kebakaran, sekali gus menyebabkan peningkatan nilai kerugian," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Basri memaklumkan bahawa JBPM Terengganu turut merekodkan peningkatan kes kebakaran melibatkan premis kediaman dan bangunan sepanjang musim Syawal tahun ini, dengan 10 kes dilaporkan termasuk satu kematian.
Menurut beliau, pendawaian tidak selamat dikenal pasti sebagai antara punca utama kebakaran ketika musim perayaan.
"Kebanyakan insiden berlaku ketika cuaca hujan dan berpunca daripada masalah pendawaian elektrik yang tidak selamat.
"Antara faktor utama ialah sambungan pendawaian yang tidak mengikut spesifikasi serta penggunaan soket melebihi kapasiti.
"Pendawaian yang disambung secara tidak betul boleh menyebabkan litar pintas. Ketika musim perayaan, penggunaan soket berlebihan menyebabkan 'overload' dan akhirnya mencetuskan kebakaran," katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan JBPM Terengganu mengendalikan 36 kes kebakaran belukar dan lalang sepanjang Syawal ini, selain dua kes kebakaran tapak pelupusan sampah masing-masing di Kemaman dan Kuala Nerus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!