Bangunan penjara 147 tahun, Kotajail jadi tarikan pelancongan

Sharil Nizam (kiri) bersama Zul Abbas di dalam salah satu sel penjara yang terdapat di Kotajail, Johor Bahru.
Sharil Nizam (kiri) bersama Zul Abbas di dalam salah satu sel penjara yang terdapat di Kotajail, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Bangunan berusia 147 tahun yang dahulunya merupakan penjara, kini diangkat sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri ini menerusi inisiatif memperkenalkan Kotajail sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, kemunculan Kotajail sebagai salah satu produk pelancongan baharu menyokong matlamat kerajaan negeri dalam menjayakan Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Tarikan utama pelancong bukan sahaja kerana nilai sejarahnya, tetapi juga kerana pendekatan yang ditampilkan santai, informatif dan berjiwa tempatan.

“Projek ini juga merupakan sebahagian daripada kerjasama Johor Brand dengan beberapa pihak termasuk Kotajail dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB),” kepada Sinar Harian ketika lawatan ke Kotajail, di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, lokasi berkenaan turut menawarkan pelbagai maklumat berkaitan sejarah dan pemuliharaan warisan tempatan, selain sesuai untuk lawatan keluarga serta pelajar.

Ujarnya, maklumat yang dikongsi di Kotajail sangat bermanfaat dan akan memberi kesedaran, terutama kepada generasi muda tentang pentingnya menjaga warisan negeri.

“Kita yakin, kemunculan produk baharu seperti Kotajail, Muzium Tokoh dan Sungai Melayu akan mengubah persepsi bahawa Johor Bahru adalah lokasi membosankan.

“Kebanyakan tarikan baharu dijangka siap secara berperingkat bermula penghujung 2025 dan awal 2026, menjadikan Johor destinasi yang lebih segar serta berdaya saing di mata pelancong dalam dan luar negara,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tapak bersejarah yang terletak dalam kawasan Kotajail itu dibuka secara percuma kepada orang ramai dan kini menampilkan konsep pemuliharaan identiti asal bangunan sambil mempamerkan nilai sejarah serta warisan negeri.

Sementara itu, Pengarah Operasi Kotajail, Zul Abbas berkata, segala kerja pemulihan dan penggayaan semula dilakukan secara usaha peribadi tanpa sebarang peruntukan rasmi.

“Kami mulakan dengan membersih dan memulihara struktur lama penjara ini sambil mengekalkan elemen pertahanan serta identiti asalnya. Tujuan kami jelas iaitu mahu orang ramai faham dan hayati kekuatan serta sejarah tempat ini.

“Selama 147 tahun, fungsi bangunan ini sebagai institusi tahanan menjadi antara rahsia paling lama tersimpan. Kini, kita buka peluang kepada masyarakat untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman berada di sini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!