Undang-undang lebih agresif banteras aktiviti kongsi gelap

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan satu lagi undang-undang lebih agresif dan proaktif dalam memerangi aktiviti kumpulan kongsi gelap atau pertubuhan haram yang dikesan semakin aktif melakukan jenayah kekerasan.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kumpulan jenayah terancang seperti itu mampu bertindak lebih ganas dan mengancam keselamatan masyarakat sekiranya tidak ditangani dari awal.
"Tindakan terhadap kumpulan kongsi gelap pada masa ini hanyalah berdasarkan Kanun Keseksaan atau kesalahan jenayah yang dilakukan mana-mana ahli kumpulan tersebut dan bukannya tindakan secara menyeluruh," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Fadil berkata, sebagai contoh, pada dasarnya polis tahu kes jenayah yang berlaku itu dikaitkan dengan sebuah kumpulan yang ganas berdasarkan maklumat dan risikan.
"Namun bukan mudah untuk kita menahan keseluruhan ahli kumpulan terbabit kerana kekangan dalam proses pembuktian bermula daripada permohonan reman sehinggalah menuduh mereka di mahkamah. Kita harus mengikuti setiap prosedur undang-undang yang ada," katanya.
Beliau berkata, polis turut melaksanakan tindakan mengikut Akta Pertubuhan 1966, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Sekarang ini kita (polis) bergantung kepada Akta Pertubuhan 1966, melalui akta ini sukar untuk kita mengambil pendekatan yang lebih tegas atau lebih holistik terhadap jenayah kekerasan yang dilakukan oleh ahli kumpulan kongsi gelap," katanya.
Beliau berkata, apabila kumpulan kongsi gelap terlibat dalam samun bersenjata api, mereka akan tuduh mengikut kesalahan samun bersenjata api.
"Apabila penjenayah itu melakukan samun rumah akan tuduh atas kesalahan samun rumah.
"Jika kumpulan penjenayah itu melakukan serangan, kita akan tuduh kerana melakukan serangan atau dalam erti kata lain kita hanya gunakan undang-undang yang sedia ada iaitu Kanun Keseksaan," ujarnya.
Fadil berkata, akta sedia ada itu bukan 'lemah' tetapi polis lebih memerlukan satu lagi akta atau tindakan yang lebih tegas untuk pencegahan terhadap mereka yang terlibat, atau sesuai digunapakai dalam zaman yang serba moden dan canggih ini.
"Ia juga adalah sebagai amaran kepada ahli-ahli kumpulan kongsi gelap.
"Sebagai contoh dalam satu kes jenayah yang berlaku, polis hanya dapat menahan dan menuduh tiga atau empat orang pelaku disebabkan kekangan pembuktian sedangkan jenayah sama turut membabitkan rakan-rakan mereka dari kumpulan kongsi gelap sama," katanya.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, polis hanya boleh memerangi kumpulan kongsi gelap hanya apabila mereka terlibat dalam jenayah.
"Sedangkan pada masa sama mereka aktif dalam aktiviti jenayah pemerasan, ugutan, meminta wang perlindungan, penyeludupan ereka kongsi gelap bila mereka terlibat alam jenayah.
"Pelakuan jenayah membabitkan kumpulan ini boleh ditafsirkan sebagai semakin hari semakin membimbangkan apabila mereka mula aktif dalam kejadian serangan dan penculikan," ujarnya.
Fadil berkata, meskipun risikan dan siasatan polis mendapati sesuatu kejadian jenayah dilakukan kumpulan kongsi gelap namun bukan mudah untuk membawa mereka untuk didakwa di mahkamah, disebabkan kekangan undang-undang yang ada.
"Peruntukan siasatan dan tindakan yang diambil adalah Kanun Keseksaan berdasarkan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh ahli kongsi gelap itu sendiri," katanya.
Pada 14 April lalu, pemimpin sebuah kumpulan kongsi gelap dikesan terbabit dalam kejadian kes tetak secara terbuka di sebuah pusat beli-belah di Seremban, sebelum dia bersama dua yang lain ditahan polis di Port Dickson, Negeri Sembilan, dalam tempoh 24 jam.
Lima hari kemudian sekumpulan lapan individu termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 26 tahun dipercayai samseng mencederakan seorang lelaki sehingga video kejadian itu tular di sebuah pangsapuri di Pasir Gudang, Johor, sebelum kesemua mereka diberkas 22 April lalu.
Pada 23 April, seorang lelaki cedera parah termasuk putus lima jari tangan kiri selepas diserang dan ditetak sekumpulan lima lelaki di hadapan sebuah restoran di Bandar Sunway, Subang Jaya, dipercayai akibat perselisihan faham membabitkan Geng 21 dan Geng 36.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!