Aplikasi media sosial dikesan promosi kongsi gelap

Fadil
Fadil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan kongsi gelap dikesan menggunakan aplikasi media sosial dalam mempromosikan aktiviti kumpulan mereka sebagai usaha menarik minat pengikut baharu terutama di kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, pengunaan aplikasi media sosial adalah salah satu pendekatan baharu kumpulan kongsi gelap

"Sebelum ini, kumpulan kongsi gelap dikesan hanya menggunakan taktik merekrut pelajar secara bersemuka di luar kawasan persekolahan," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Fadil berkata, kumpulan kongsi gelap atau pertubuhan haram kini dikesan menggunakan seseorang pempengaruh yang mempunyai banyak pengikut bagi menarik minat remaja dan pelajar sekolah.

"Langkah ini adalah usaha kumpulan secret society atau pertubuhan haram dalam untuk menarik minat pengikut baharu dengan menyasarkan golongan remaja dan pelajar sekolah.

"Kebanyakan mereka mengikuti aktiviti-aktiviti sosial yang dipaparkan oleh pempengaruh-pempengaruh yang popular ini menerusi kandungan medium media sosial," katanya.

Beliau berkata, perkara itu dikesan oleh Bahagian Pencegahan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) yang mengenal pasti cara baharu kumpulan kongsi gelap

"Justeru kita (JSJ) mahukan satu kaedah yang tegas untuk memerangi dan mematahkan cubaan sesebuah kumpulan kongsi gelap ini dalam konteks pencegahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadil berkata, langkah pencegahan adalah penting sebelum golongan remaja dan pelajar sekolah ini terjebak sehingga mereka terbabit dalam kegiatan jenayah.

"Kita juga sudah mengenal pasti kumpulan-kumpulan jenayah tertentu yang dipromosikan menerusi laman media sosial pempengaruh berkenaan.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan pempengaruh itu adalah ahli kumpulan pertubuhan haram yang dipromosikan oleh mereka atau berkemungkinan mereka dibayar untuk memuat naik aktiviti kumpulan kongsi gelap terbabit seperti majlis-majlis pertemuan antara ahli kumpulan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, pemantauan dan siasatan juga turut dijalankan dan sebarang tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil sekiranya ada sebarang kesalahan dikesan.

"Hanya aktiviti jenayah yang boleh menjana kewangan sesebuah kumpulan terus kekal selain memerlukan jumlah pengikut atau 'anak buah' yang ramai.

"Untuk terus 'survive' mereka akan melakukan kes jenayah samun, pemerasan, perjudian dan aktiviti penyeludupan manusia serta mereka akan terlibat dengan aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan kontraban (rokok, minuman keras, beras, gula, diesel, mercun)," katanya.

Beliau berkata, dari segi pemerasan, kumpulan kongsi gelap akan memberikan alasan kepada mana-mana ahli perniagaan kononnya mereka akan memberikan perlindungan keselamatan padahal mereka yang mewujudkan ancaman-ancaman itu.

"Mereka akan pergi mengganggu dan cuba merompak orang yang mereka tawarkan perlindungan dan mereka akan counter attack (membela) mangsa kononnya atas alasan melindungi bagi tujuan meminta wang," katanya.

Katanya, meskipun sukar untuk memerangi pertubuhan haram atau kumpulan kongsi gelap secara keseluruhan namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan setiap akta yang ada di bawah Kanun Keseksaan untuk mengambil tindakan mengikut kesalahan yang dilakukan atau dikaitkan dengan mana-mana kumpulan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!