'Piala Malaysia akan kekal di selatan tanah air'

WALAUPUN keputusan sebenar hanya akan ditentukan di atas padang, namun di atas kertas, Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku penyandang juara tetap dilihat sebagai pasukan pilihan menjulang trofi berprestij itu.
Bagi bekas pemain Johor FA, Khalid Shahdan, firasatnya kuat mengatakan bahawa trofi Piala Malaysia bagi edisi kali ini akan kekal di selatan tanah air.
Wira Piala Malaysia Johor musim 1985 dan 1991 itu bagaimanapun meramalkan JDT bakal berdepan tentangan sengit Sri Pahang yang tekad mengakhiri kemarau kejuaraan sejak kali terakhir menjulang trofi berprestij tersebut pada 2014.
Pun begitu, Khalid tetap meramalkan kemenangan 3-0 berpihak kepada JDT dengan Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva menjadi penyumbang gol buat skuad Harimau Selatan pada malam ini.
“Kalau kita lihat, JDT selalunya mencatat kemenangan besar 5-0, 7-0 bukan?
“Tapi harus diingat, ini adalah perlawanan akhir dan sudah pasti Sri Pahang tidak mahu sekadar menjadi pasukan belasahan,” katanya.

Nada sama disuarakan bekas penjaga gol Johor FA dan kebangsaan, Hassan Miskam yang meramalkan perlawanan akhir kali ini berakhir dalam tempoh 90 minit tanpa perlu diheret ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun katanya, skuad kendalian Hector Bidoglio itu perlu tetap berwaspada dengan taktikal lawan sepanjang perlawanan selain memastikan pintu gol tidak dibolosi pada minit-minit awal permainan.
“Kalau sampai ke penentuan penalti, rasanya tak ada masalah sebab pemain-pemain JDT semuanya berkebolehan menjaringkan gol,” katanya yang turut meletakkan skor 3-0 buat JDT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!