‘Dalam satu minit segalanya boleh berubah’ - Bidoglio

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengingatkan barisan pemainnya agar kekal fokus sepenuhnya menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Menurut Bidoglio, meskipun JDT dianggap pasukan pilihan berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang musim, beliau tidak mahu memandang ringan cabaran daripada Sri Pahang dalam perlawanan penentu itu.
“Keupayaan Sri Pahang tidak boleh dipandang rendah dan kami perlu sentiasa berada pada tahap terbaik kerana sedikit kesilapan boleh membawa padah.
“Kami perlu buktikan bahawa kami telah bekerja keras dan mampu mengekalkan momentum serta menunjukkan potensi sebenar kami.
“JDT telah melalui musim yang hebat dalam Liga Juara-Juara AFC Elite dan juga liga tempatan. Tapi inilah bola sepak — segalanya boleh berubah dalam satu minit. Jadi kami perlu beri 100 peratus,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan pada Jumaat.
Mengulas kekuatan Sri Pahang, Bidoglio mengakui lawan mereka itu bukan calang-calang pasukan memandangkan telah berjaya mara ke pentas akhir.
“Saya selalu katakan, perlawanan akhir adalah perlawanan yang berbeza. Semua pasukan yang layak ke final adalah pasukan kuat dan layak berada di situ.
“Bagi saya, Sri Pahang mempunyai barisan pemain yang bagus. Jika mereka berada di final, itu bermakna mereka telah melalui perjalanan yang hebat. Jadi kami perlu benar-benar bersedia,” ujarnya.
JDT berpeluang mencipta sejarah baharu sekiranya berjaya menjulang Piala Malaysia musim ini, sekali gus menjadi satu-satunya pasukan yang merangkul empat trofi dalam tiga musim berturut-turut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
