BOS palu gendang ‘perang’ bakar semangat JDT

SEHELAI bendera gergasi negeri Johor akan dikibarkan pada final Piala Malaysia bagi membakar semangat pemain dan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berkampung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Inisiatif itu digerakkan oleh penyokong tegar Harimau Selatan, Boys of Straits (BOS) sebagai motivasi tambahan kepada JDT dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia buat kali kelima dalam tempoh sembilan tahun.
Jurucakap BOS, Farween Johar berkata, sebanyak 35,000 bendera kecil berwarna biru dan merah tertera lambang JDT turut diagih dan diletakkan di bawah tempat duduk penyokong.

“Alhamdulillah, bendera gergasi Johor hanya menunggu masa untuk dikibarkan di stadium.
“Begitu juga dengan tifo, sepanduk dan hiasan lain semuanya telah tersedia. Ini bukan sesuatu yang baharu, malah telah menjadi sebahagian daripada tradisi kami sebagai penyokong tegar JDT,” katanya.
Pada masa sama, Farween memberitahu BOS secara tradisinya melakukan gimik sebelum sepak mula dan rutin sorakan sepanjang 90 minit perlawanan demi membangkitkan semangat juang pemain JDT.

“Kita kekalkan lagu-lagu lama supaya seluruh stadium boleh bergema dengan suara penyokong JDT.
“Kalau guna lagu baharu, bimbang tidak sempat dihafal dan suasana akan menjadi suram,” ujarnya yang meramalkan kemenangan 3-0 berpihak kepada skuad kendalian Hector Bidoglio.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!