Kedah larang bela anjing baka ganas di kawasan perumahan

Laporan Sinar Harian berhubung tindakan terhadap pemilik anjing Rottweiler yang didenda RM8,500 oleh Mahkamah Majistret Baling selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan cuai. Gambar kanan: Mansor
Laporan Sinar Harian berhubung tindakan terhadap pemilik anjing Rottweiler yang didenda RM8,500 oleh Mahkamah Majistret Baling selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan cuai. Gambar kanan: Mansor
A
A
A

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah menguatkuasakan satu garis panduan tambahan yang melarang pemeliharaan anjing baka agresif di kawasan perumahan bagi menjamin keselamatan penduduk setempat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mansor Zakaria berkata, penambahan garis panduan itu dimasukkan dalam undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT), susulan peningkatan kes serangan anjing yang membimbangkan.

“Kita tak benarkan lagi anjing baka ganas dibela dalam kawasan perumahan. Jika mahu, hanya dibenarkan di kawasan ladang, dusun atau tapak pembinaan,” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Menurut beliau, antara baka yang dikategorikan berbahaya termasuk Rottweiler, American Bulldog dan Pit Bull Terrier, yang berpotensi mencetuskan kecederaan serius sekiranya gagal dikawal pemilik.

Jelas Mansor, undang-undang sedia ada sememangnya telah memperuntukkan tindakan terhadap pemilik anjing yang tidak memiliki lesen atau gagal mengawal haiwan peliharaan mereka.

“Jika anjing tak berlesen, tindakan boleh diambil. Kalau berlesen sekalipun, tetapi tidak dikurung, dibawa keluar tanpa tali, atau mengganggu jiran, tetap boleh dikenakan tindakan.

“Keselamatan masyarakat adalah keutamaan. Kalau pemilik tidak mampu kawal haiwan mereka, itu bahaya kepada penduduk sekitar,” ujarnya.

Tambah beliau, statistik menunjukkan sebanyak 2,395 aduan berkaitan anjing diterima di Kedah pada tahun 2024, termasuk 56 kes serangan dan 24 insiden gigitan. Sehingga Mac tahun ini, 550 aduan telah direkodkan dengan sembilan serangan dan empat kes gigitan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan akan merangka garis panduan baharu bagi mengharamkan pemeliharaan anjing agresif di kawasan perumahan, susulan insiden tragis pada awal April lalu.

Dalam kejadian tersebut, lima mangsa cedera selepas diserang dua ekor anjing jenis Rottweiler yang terlepas dari sangkar di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil.

Kedua-dua anjing terbabit telah dilupuskan manakala pemiliknya dikenakan denda RM8,500 oleh Mahkamah Majistret Baling selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan cuai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!