Dua anjing Rottweiler serang lima individu dilupuskan - Veterinar

BALING - Dua ekor anjing jenis Rottweiler yang menyerang lima individu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dekat sini pada Selasa telah dilupuskan pada Rabu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Shaharul Amar Talib berkata, pihaknya juga mengambil sampel daripada anjing itu bagi tujuan pengesanan penyakit rabies di Makmal Veterinar Wilayah Utara Bukit Tengah, Pulau Pinang.
Beliau berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di rumah pemilik anjing sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu.
"Pemeriksaan mendapati terdapat dua ekor anjing dewasa jenis Rottweiler jantan berwarna hitam belum dimandulkan dan kedua-duanya sukar didekati.
"Bagaimanapun, pemilik anjing memberi kerjasama dan menyerahkan anjing secara sukarela kepada petugas veterinar untuk tindakan selanjutnya serta bersetuju untuk dilupuskan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Bernama sebelum ini melaporkan lima individu termasuk seorang penuntut sebuah universiti warga Arab Saudi cedera selepas digigit anjing terbabit yang terlepas dari sangkar.
Video memaparkan beberapa individu dirawat dan dibawa menaiki ambulans akibat serangan anjing itu juga tular di media sosial. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
