Polis teruskan siasatan kes cedera diserang anjing Rottweiler

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BALING - Siasatan terperinci membabitkan kejadian dua anjing Rottweiler menyerang penduduk di Taman Desa Bidara pada Selasa, tetap diteruskan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, polis tetap meneruskan siasatan berhubung kejadian biarpun kata sepakat telah dipersetujui bagi tindakan pelupusan anjing terbabit.

Menurutnya, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai melepaskan anjing di tempat awam,"katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, meskipun ada perbincangan baik antara pihak berkuasa lain dengan pemilik anjing, namun daripada pihak polis, siasatan tetap diteruskan.

"Ini berdasarkan laporan polis yang diterima daripada lima individu yang menjadi mangsa akibat serangan anjing berkenaan,"katanya.

Menurut Azmi, pemilik anjing telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Sinar Harian melaporkan, dua anjing baka Rottweiler yang menyerang lima penduduk di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil Selasa lalu, telah dilupuskan pada Rabu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Shaharul Amar Talib berkata, sampel telah diambil daripada anjing tersebut dan dihantar ke Makmal Veterinar Bukit Tengah, Pulau Pinang, untuk dianalisis bagi pengesanan penyakit Rabies.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, lima individu dilapor mengalami kecederaan pada pelbagai bahagian badan selepas digigit dua anjing terbabit.

Seorang lagi mangsa yang cedera ialah warganegara Mesir yang merupakan penduduk di perumahan sama dan penuntut di sebuah universiti tempatan.

Video mengenai mangsa yang cedera akibat serangan tersebut turut tular di media sosial memaparkan beberapa individu sedang dirawat dan dibawa menaiki ambulans susulan serangan anjing yang dipercayai terlepas dari sangkar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!