Pameran Semangat ASEAN, Karya Agung tonjol kepelbagaian warisan, identiti serantau

KUALA LUMPUR - Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan Pameran Semangat ASEAN dan Pameran Karya Agung bagi menonjolkan kepelbagaian warisan, identiti serantau serta perpaduan nasional.
Pameran itu dibuat bersempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan bermula dari 21 April hingga 31 Ogos 2025.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penganjuran Pameran Karya Agung mempamerkan pelbagai koleksi seni kraf tempatan daripada pelbagai kaum termasuk tokoh dan Adiguru Kraf Negara terdiri daripada Sabah, Sarawak serta masyarakat Orang Asli.
Menurutnya, Pameran Semangat ASEAN yang diadakan bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian budaya dan tradisi dari negara-negara ASEAN, tetapi juga menonjolkan pencapaian sesebuah negara yang menjadi contoh kepada dunia dalam hal perpaduan serta integrasi pelbagai kaum.
“Pameran ini bukan sahaja memperkaya pemahaman terhadap identiti ASEAN, tetapi turut menjadi platform untuk menyemai semangat kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan negara jiran
“Ini jelas memperlihatkan bagaimana warisan seni kraf turut menjadi wahana perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan menjadi tarikan pelancong di negara ini.
“Sebanyak 120 koleksi dari negara-negara ASEAN dipamerkan yang memperlihatkan warisan budaya, sejarah dan amalan lestari mencerminkan keunikan setiap negara anggota,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Peluncuran Pameran Semangat ASEAN Pameran Karya Agung dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Jabatan Muzium Negara (JMM) di Muzium Negara, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Aaron turut mengumumkan, koleksi The Birth of the Association of Southeast Asia Nations (ASEAN) (Archives about the Formation ASEAN, 1967 – 1976) yang dicalonkan oleh Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand berjaya diiktiraf di bawah Daftar Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 17 April 2025 di Paris, Perancis.
Tambah beliau, Deklarasi ASEAN bertarikh 8 Ogos 1967 daripada Arkib Negara Malaysia merupakan salah satu bahan yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.
“Pengiktirafan ini amat signifikan kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim, pameran itu menghimpunkan koleksi eksklusif seni kraf tempatan sebanyak 64 koleksi hasil kerja tangan 8 orang Tokoh Kraf Negara dan 22 Adiguru Kraf.
Tambah beliau, pameran itu adalah untuk memperlihatkan identiti serantau dan memantapkan pemahaman terhadap peranan ASEAN dalam mencerminkan semangat perpaduan serta kebersamaan bagi mengukuhkan lagi hubungan serantau.
“Pameran ini adalah simbol usaha kita untuk terus memelihara dan memperkukuhkan hubungan antara negara-negara ASEAN serta memperkenalkan nilai-nilai universal yang kita sama-sama junjung, seperti kedamaian, kestabilan dan kemakmuran.
“Koleksi-koleksi ini bukan sahaja menceritakan kisah budaya dan sejarah, tetapi juga menggambarkan keindahan seni dan kreativiti yang tinggi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!