Kraftangan Malaysia anjur Pameran Karya Agung

Kehalusan seni kraf songket karya Tokoh Kraf Negara turut dipamerkan di Pameran Karya Agung.
Kehalusan seni kraf songket karya Tokoh Kraf Negara turut dipamerkan di Pameran Karya Agung.
A
A
A
Seni kraf adalah warisan budaya yang tidak ternilai, mencerminkan keindahan, kreativiti dan tradisi yang telah diwarisi turun-temurun.

Dalam usaha memartabatkan seni kraf tempatan dan memperkenalkan kekayaan budaya negara, Pameran Karya Agung yang bertemakan Seni Kraf Warisan Negara telah dibuka di Muzium Kraf Kuala Lumpur, bermula 28 November 2024 hingga 31 Disember 2025.

Pameran ini menyediakan pelbagai karya seni kraf dan menjadi satu platform penting bagi mengukuhkan perpaduan dan identiti kebangsaan.

Pameran Karya Agung menampilkan 150 produk kraf hasil kerja tangan daripada 73 orang Tokoh Kraf Negara dan Adiguru Kraf.

Ia merupakan inisiatif kerajaan sebagai wahana perpaduan bagi memartabatkan seni, budaya dan sastera kebangsaan.

Mempamerkan pelbagai produk kraf anyaman yang dihasilkan oleh Adiguru Kraf.
Mempamerkan pelbagai produk kraf anyaman yang dihasilkan oleh Adiguru Kraf.



Setiap karya yang dipamer mencerminkan keunikan dan keindahan seni kraf tempatan, juga menceritakan kisah sejarah dan budaya yang menjadi akar umbi bagi setiap ciptaan.

Pelaksanaan pameran ini sekali gus dapat memartabatkan seni kraf tempatan serta memperkenalkan kebudayaan Malaysia kepada masyarakat.

Anugerah Tokoh Kraf Negara dan Pengiktirafan Adiguru Kraf

Artikel Berkaitan:


Pameran ini mengiktiraf dan memartabat karya Tokoh Kraf Negara dan Adiguru Kraf yang menjadi tunjang kepada kelestarian industri kraf negara.

Anugerah Tokoh Kraf Negara merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia melalui kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1996 yang dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia.

Anugerah ini memberi galakan dan semangat kepada pengusaha kraf berkemahiran tinggi supaya lebih kreatif, inovatif dan produktif agar dapat mempertahankan seni kraf tempatan di samping menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi negara.

Kraf tekatan benang emas dihasilkan oleh Azizah Mohamad Yusof, Tokoh Kraf Negara (Tekatan Benang Emas).
Kraf tekatan benang emas dihasilkan oleh Azizah Mohamad Yusof, Tokoh Kraf Negara (Tekatan Benang Emas).



Tokoh Kraf Negara merupakan pakar rujuk yang mempunyai kredibiliti serta menunjukkan ketokohan, prestasi dan sumbangan cemerlang dalam usaha memulihara, memelihara dan memartabatkan seni kraf negara di peringkat nasional serta antarabangsa.

Sehingga tahun 2024, seramai lapan orang pengusaha kraf telah dianugerahkan sebagai Tokoh Kraf Negara.

Selain itu, pengiktirafan Adiguru Kraf mula dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 1987.

Pengiktirafan ini bertujuan untuk memulihara serta memelihara kemahiran dan kesenian kraf tangan tempatan ke arah kelestarian industri kraf negara.

Adiguru Kraf adalah pengusaha kraf yang mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf yang mempunyai identiti tempatan.

Adiguru Kraf juga berperanan penting dalam usaha memulihara dan memelihara seni kraf negara melalui kesungguhan serta kesediaan untuk mewariskan ilmu dan kemahiran kepada generasi pelapis.

Dengan pameran ini, orang ramai dapat meningkatkan pengetahuan berkaitan seni kraf tempatan melalui penggunaan bahan, kepelbagaian motif, teknik dan kehalusan kerja tangan pengusaha kraf dalam penghasilan produk kraf Malaysia.

Hal ini kerana setiap karya merupakan khazanah budaya dan wadah kelestarian seni kraf negara.

Serlah budaya setempat dan identiti kebangsaan

Pameran Karya Agung di Muzium Negara telah dibuka kepada pengunjung mulai 15 April hingga 30 Jun 2025.
Pameran Karya Agung di Muzium Negara telah dibuka kepada pengunjung mulai 15 April hingga 30 Jun 2025.



Pameran ini mempamerkan ciptaan seni kraf daripada lima bidang kraf utama iaitu tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf. Penampilan setiap hasil seni kraf menyerlahkan kekayaan budaya setempat dan identiti kebangsaan yang membanggakan.

Mempunyai nilai estetika tinggi dan sejarah unik, reka bentuk kraf Malaysia diinspirasikan daripada alam sejadi, bentuk geometri, serta dipengaruhi elemen kehidupan harian masyarakat tempatan.

Reka bentuk produk kraf yang dihasilkan menjadi rujukan dan kekal relevan untuk diwarisi oleh generasi pelapis melalui pemeliharaan keaslian warisan budaya.

Keindahan motif dan reka corak seni kraf Malaysia yang dihasilkan adalah mencerminkan kekayaan budaya dan warisan bangsa yang memiliki nilai artistik serta tafsiran makna tertentu.

Menariknya, pada tahun 2025, dua lokasi Pameran Karya Agung akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia seperti di Muzium Negara, Kuala Lumpur bermula 15 April 2025 hingga 30 Jun 2025.

Lokasi kedua ialah di Muzium Budaya Sarawak, Kuching Sarawak yang akan diadakan pada 15 Mei 2025 hingga 30 Julai 2025 yang memfokuskan pameran Kraf Tekstil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!