Hampir dibuang sekolah, pelajar meninggal dunia sebelum keputusan SPM

SHAH ALAM - Seorang guru berkongsi kisah bekas pelajarnya yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks beberapa hari sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumum pada Khamis.
Guru, Muslim Ismail berkata, pelajar tersebut kerap ponteng hingga hampir dibuang sekolah ketika di Tingkatan Empat.
Ujar Muslim, bagaimanapun berkat usaha berterusan dari pihak guru dan kaunselor sekolah dalam meyakinkan pelajar berkenaan, dia akhirnya kembali meneruskan persekolahannya.
“Hari ini dia dapat A- (dalam subjek Landskap dan Nurseri), tetapi aku tidak dapat jumpa dia untuk ucap tahniah.
“Dia dah pergi Isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurutnya, meskipun tidak pernah lulus dalam peperiksaan melibatkan subjek tersebut namun, pelajar berkenaan tetap rajin dan ringan tulang dalam menyiapkan tugasannya.
Ulasnya, pelajar tersebut juga mempunyai kekurangan dari segi memahami dan mengingati sesuatu perkara, menyebabkannya sukar untuk bersaing dengan rakan sebaya dalam pembelajaran.
“Walaupun tidak sempurna, tetapi dia berusaha. Aku tidak marah pun sebab aku tahu kelemahannya dan kadang-kala bila dia ditinggalkan bas selepas tuisyen petang, waktu aku hantar pulang, sempat juga aku titip kata-kata.
“Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya, bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh tetapi dia suka menyanyi.
“Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!