Keputusan SPM cemerlang, Kelantan teruskan Tuisyen Rakyat Sejahtera libat semua calon SPM

Wan Roslan
Wan Roslan
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri akan meneruskan Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) membabitkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan kejayaan yang diraih tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, tuisyen itu pada mulanya dikhususkan untuk pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) sahaja.

Bagaimanapun, usaha itu akan diteruskan dengan melibatkan pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas melihat kejayaan yang diperoleh tahun ini.

"Tuisyen ini bermula tahun lalu di semua 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penyertaan 1,350 calon SPM.

"Selepas pertemuan bersama pentadbir sekolah didapati sambutan yang diterima di luar jangkaan dan berjaya mengangkat pencapaian lebih baik tahun ini," katanya di sini.

Menurut Wan Roslan, kerajaan meluluskan peruntukan hampir RM500,000 membabitkan RM10,600 untuk satu DUN kerana mahu program berkenaan menjadi ikon melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam SPM.

Beliau berkata, penyertaan guru yang pakar dalam mata pelajaran juga antara faktor peningkatan peratusan kejayaan SPM.

"Tuisyen Rakyat Sejahtera dilaksanakan selama dua bulan secara intensif bermula Oktober hanya pada hari minggu sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah jam pembelajaran dilaksanakan secara fleksibel bergantung pada pengurusan pihak DUN mengikut keutamaan pelajaran dan keselesaan pelajar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!