'Silap kami dulu sebabkan lima anak tiada sijil lahir'

Zulkifli mendengar masalah dihadapi Salleh (kanan) hingga menyebabkan lima anaknya tiada sijil kelahiran.
Zulkifli mendengar masalah dihadapi Salleh (kanan) hingga menyebabkan lima anaknya tiada sijil kelahiran.
A
A
A

SEREMBAN – “Ini semua salah kami... kalau boleh undur masa, kami mahu ubah segalanya.”

Demikian luahan seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Salleh, 45, apabila mengenang kembali kesilapan silam yang menyebabkan lima anaknya tidak memiliki sijil kelahiran, sekali gus menjejaskan masa depan mereka.

Salleh dan isterinya yang berusia 42 tahun dan menetap di Senawang mengakui keputusan hidup bersama tanpa ikatan perkahwinan sah sejak 12 tahun lalu menjadi punca kepada permasalahan tersebut.

Bagaimanapun, Salleh mengakui telah bernikah tahun lalu dan kini mahu memperbetulkan keadaan serta berharap ada pihak yang dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

“Empat daripada lima anak dilahirkan di hospital dan klinik swasta manakala seorang lagi di hospital kerajaan.

“Disebabkan kesempitan hidup dan tidak mampu membayar bil, kami terpaksa membawa keluar dua anak tanpa diberi dokumen pengesahan kelahiran.

“Tiga lagi anak saya memiliki dokumen tetapi telah hilang kerana kehidupan kami sering berpindah-randah,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas dikunjungi Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli (dua dari kiri) berbincang bersama Salleh di rumah mereka di Senawang, Seremban.
Zulkifli (dua dari kiri) berbincang bersama Salleh di rumah mereka di Senawang, Seremban.

Salleh berkata, disebabkan anak-anaknya tiada sebarang dokumen pengenalan diri, mereka tidak berpeluang ke sekolah.

Katanya, dua daripada mereka, masing-masing lelaki berusia 12 dan 11 tahun dihantar ke madrasah di Port Dickson manakala seorang lagi anak lelaki berusia lapan tahun dan seorang anak perempuan berusia enam tahun tidak bersekolah.

“Saya akui ia disebabkan kesilapan saya dan isteri kerana terus hidup bersama tanpa ikatan sah selepas pertama kali terlanjur kira-kira 12 tahun lalu.

“Waktu itu memang kami mahu berkahwin tetapi kerana isteri malu dan takut dimarahi keluarga, hasrat itu dilupakan,” katanya.

Salleh yang hanya bekerja sebagai mekanik berkata, dia tidak pernah memohon sebarang bantuan daripada mana-mana pihak kerana menyedari bakal berdepan masalah disebabkan anak-anaknya tiada dokumen pengenalan diri.

“Namun sebagai bapa, saya tidak dapat menipu diri yang sentiasa dalam keadaan bimbang mengenang nasib anak-anak yang tiada pengenalan diri.

“Saya risau akan masa depan anak-anak saya. Saya tidak mahu mereka jadi seperti saya.

“Mereka selalu cakap mahu sangat ke sekolah seperti budak lain. Saya sedih kerana masih tidak dapat menunaikan permintaan itu, tetapi saya tidak pernah abaikan mereka,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya terpanggil membantu pasangan suami isteri terbabit demi masa depan anak-anak mereka.

Menurutnya, jika keadaan dibiarkan berlarutan, anak-anak mereka bukan sahaja berisiko tercicir dalam pendidikan, malah kehilangan pelbagai bentuk manfaat yang sepatutnya dinikmati sebagai warganegara.

“Saya dihubungi lelaki ini yang memohon bantuan menyelesaikan masalah dihadapi dan mewakilkan persatuan menguruskan kesnya.

“Namun, ada beberapa perkara tidak boleh didedahkan secara terbuka dan kami menghormati hal itu. Apa yang penting adalah memastikan isu berkaitan sijil kelahiran anak-anak ini diselesaikan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, persatuan turut merancang untuk membantu pasangan berkenaan memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah sebagai sumber pendapatan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!