Ustaz Yusri selami denyut nadi rakyat

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Jeram Mengkuang, Samsol Mohd Said berkata, pemilihan fi gura yang mesra dipanggil Ustaz Yusri itu bertepatan buat penduduk di Ayer Kuning.
Samsol yang bekerja sendiri berkata, Mohamad Yusri dikenali penduduk kerana amat mengambil berat terhadap masalah masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Walaupun ketika itu beliau hanya Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, beliau sentiasa turun bersama Allahyarham Ishsam Shahruddin dan tidak kekok menyantuni masyarakat bagi mendengar permasalahan kami.
“Pemilihan beliau memang selayaknya kerana tahu permasalahan yang ada dalam Ayer Kuning malah, setiap kampung memang mengenalinya, senang urusan kami selepas ini,” katanya.
Samsol berkata, gerak kerja Mohamad Yusri yang tersusun dan bakat kepimpinannya diyakini boleh menerajui DUN dengan baik dalam menyuarakan masalah rakyat.
Bersama anak muda

Bagi Mohamad Safuan Mohamad Rashid, 34, pesara guru berusia 54 tahun itu mampu mencipta kejayaan dalam PRK ini berdasarkan kepemimpinan yang beliau miliki ketika menjadi guru sehingga bergelar pensyarah.
Peniaga itu berkata, latar belakangnya dalam pendidikan menyebabkan pelbagai nasihat baik yang tak pernah lekang daripada mulutnya setiap kali bertemu dengan golongan belia.

“Keramahannya itu menyebabkan kami sebagai orang muda selesa bersamanya. Beliau seperti arwah Ishsam, tetapi setiap aktiviti orang muda, beliau pasti turun menyokong.
“Naluri guru beliau amat kuat mahu melihat kami berjaya dalam kehidupan. Setiap kali bersapa, beliau minta kami teruskan belajar atau mengikuti kursus kemahiran yang disediakan kerajaan,” katanya.
Mohamad Safuan juga mengakui Mohamad Yusri yang juga pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Islam itu menjadi calon pilihan pada hari membuang undi.
“Beliau juga menekankan kepada anak-anak muda untuk rajin pergi ke surau dan masjid. “Hal-hal berkaitan agama ini beliau sangat menjaga. Tutur katanya yang lembut menyebabkan kami semua sangat selesa,” katanya.
Tambahnya, manifesto yang menekankan pembangunan anak muda selain mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dilihat realistik.
“Berbanding dua manifesto lain, tawaran yang diberikan calon BN lebih menyakinkan.
“Bertitik tolak daripada itu, ia menjadi harapan kami agar Ustaz Yusri menang kali ini. Kami sebagai anak muda sentiasa menyokong di belakang beliau,” katanya.
Teruja pertama kali mengundi
Bagi pelajar tingkatan enam, Mohamad Haiqal Akmal Hisham, 19, peluang itu digunakan sebaiknya dalam memilih pemimpin yang bakal mewakili suara rakyat.

“Sebagai rakyat di negara yang ada demokrasi ini, kita kena lakukan tanggungjawab mengundi dengan memilih pemimpin yang baik demi kemajuan negeri.
“Selepas diumumkan ada PRK, saya terus lakukan semakan dan menonton proses mengundi sebagai persediaan untuk mencelup jari dengan dakwat kekal,” katanya yang akan mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pekan Getah di sini.
Pelajar aliran sains sosial itu berkata, kualiti kepimpinan dan misi pembangunan yang dibawa calon menjadi kriteria utama dalam pemilihan wakil rakyat yang akan dipangkah nanti.
“Pakej lengkap itu ditunjukkan Mohamad Yusri yang mana saya mengikuti sendiri kempennya dan melihat sendiri kredibiliti beliau ketika bertemu masyarakat.
“Saya melihat manifesto yang ditawarkan BN realistik dan dekat di hati masyarakat terutama orang muda. Beliau diyakini boleh meneruskan pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mohamad Haiqal berkata, Mohamad Yusri juga komited dalam melaksanakan tugas ketika menerajui Majlis Belia Daerah Batang Padang.

“Sikapnya yang tegas, berdisiplin memperlihatkan kepimpinannya yang baik dalam menjayakan misi dan misinya.
“Sekiranya diberi mandat, diharapkan beliau dapat membantu menyelesaikan masalah masyarakat meskipun tempoh yang dipegangnya nanti singkat,” katanya.
Berdasarkan demografi pengundi Ayer Kuning, seramai 31,897 pemilih layak mengundi, masing-masing Melayu sebanyak 56.8 peratus; Cina (21.12 peratus); India (14.43 peratus) dan Orang Asli (6.75 peratus).
DUN Ayer Kuning yang juga kubu kuat BN menyaksikan saingan tiga penjuru itu susulan kematian penyandangnya, Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ishsam menewaskan empat pencabarnya daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 2,213 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
