PRK Ayer Kuning bukti rakyat sedia terima kuasa politik baharu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Keberanian pengundi memilih suara alternatif dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan rakyat semakin bersedia menerima kuasa politik baharu yang menawarkan dasar progresif, inklusif dan berteraskan keadilan sosial.

Biro Politik Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, walaupun berdepan pelbagai kekangan besar, rakyat tetap membuka ruang kepada perjuangan berprinsip dan matang dalam membuat pilihan mereka.

"Muda kekal percaya bahawa kuasa ketiga akan mempunyai tempat dalam politik negara dan akan terus mengukuh dalam siri pilihan raya akan datang melalui calon progresif seperti Bawani KS dan rakan seperjuangan lain.

"Muda ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Ayer Kuning atas keberanian mereka memilih suara alternatif dalam PRK tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Muda turut mengucapkan tahniah kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) atas kesungguhan sepanjang kempen, serta menghargai usaha Bawani yang membawa suara rakyat marhaen dengan penuh ikhlas dan dedikasi.

"Usaha gigih ini adalah bukti bahawa politik berasaskan nilai dan prinsip kini semakin mendapat tempat dalam hati rakyat," menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, Muda menghormati keputusan majoriti rakyat dan menghargai semangat demokrasi yang ditunjukkan semua pengundi Ayer Kuning.

Kehadiran pengundi di pusat pengundian dalam suasana politik mencabar membuktikan rakyat Malaysia tetap komited kepada proses demokrasi sebagai asas masa depan negara.

Artikel Berkaitan:

Justeru, parti itu berpandangan bahawa perjuangan untuk membawa perubahan sebenar tidak berakhir di Ayer Kuning.

"Muda komited untuk terus bekerjasama dengan semua parti dan individu yang berkongsi cita-cita reformasi dalam memperkukuh suara rakyat dan membina Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berintegriti," tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Muda turut merakamkan ucapan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir atas kemenangan di PRK Ayer Kuning.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!