Lantikan Ramli Ngah Talib kebanggaan buat warga Perak Tengah

IPOH – Pelantikan Tun Ramli Ngah Talib sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kesembilan disifatkan sebagai satu kebanggaan besar, bukan sahaja kepada rakyat negeri itu, malah seluruh warga daerah Perak Tengah.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, pelantikan itu amat tepat kerana Tun Ramli merupakan tokoh berpengalaman luas dalam pentadbiran dan kepimpinan negara.
“Beliau bukan sahaja pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Menteri Besar Perak, malah juga pernah menjawat jawatan Speaker Dewan Rakyat.
“Latar belakangnya sebagai peguam dan graduan Queen’s University serta Barrister-at-Law dari Lincoln’s Inn, London menjadikan beliau simbol kejayaan anak kampung yang berjaya meniti tangga kejayaan hingga ke puncak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Nordin, Tun Ramli yang dilahirkan di Pasir Salak dan dibesarkan di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, sentiasa dikenang sebagai tokoh penting dalam pembangunan kawasan itu.
“Antara sumbangan besar beliau termasuk pembentukan bandar kecil Kampung Gajah, kewujudan Kompleks Sejarah Pasir Salak serta pembangunan Felcra Seberang Perak yang memberi kesan langsung kepada perubahan sosioekonomi penduduk,” ujarnya.
Katanya, ketokohan Tun Ramli turut diabadikan melalui penerbitan buku Pulau Tiga: Khazanah Melayu Perak hasil kerjasama dengan Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) serta Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Jelas Nordin, buku dilancarkan pada Disember 2023 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam itu sebagai usaha kami mengenang jasa beliau yang sangat besar kepada masyarakat setempat.
Beliau turut mendoakan agar Tun Ramli terus dikurniakan kesihatan yang baik serta mampu menjalankan amanah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dengan cemerlang.
Pada Khamis, Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1Mei 2025.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!