Ramli Ngah Talib teruskan kecemerlangan Pulau Pinang - DPPM Perak

Amirudin
Amirudin
A
A
A
IPOH – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Ramli Ngah Talib atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang kesembilan.

Yang di-Pertua DPPM Perak, Amirudin Tajudin berkata, pelantikan itu disifatkan tepat memandangkan kredibiliti dan pengalaman luas dimiliki bekas Menteri Besar Perak itu dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, Ramli merupakan tokoh berpengalaman luas dalam pentadbiran awam, perundangan serta politik dan diyakini mampu membawa nafas baharu kepada pembangunan negeri berkenaan.

“Dengan latar belakang yang kukuh sebagai penjawat awam, ADUN, Menteri Besar, peguam, ahli Parlimen dan juga pernah memegang jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat, Tun Ramli mempunyai keupayaan untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Pelantikan beliau juga diharap dapat meneruskan legasi kecemerlangan dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Artikel Berkaitan:


Ramli, 84, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Mei 2025 bagi tempoh empat tahun, menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang tamat tempoh perkhidmatan.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Perak dari 1982 hingga 1999 sebelum menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.

Selain itu, beliau juga pernah mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan merupakan salah seorang pembesar Orang Besar Lapan Negeri Perak dengan gelaran Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!