Dakwaan O'Reilly salah, pendapatan Malaysia sederhana tinggi - Fahmi

SHAH ALAM - Dakwaan pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly berkenaan statistik pendapatan per kapita isi rumah Malaysia adalah fakta tidak benar.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang membidaas dakwaan tersebut menjelaskan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2023 ialah AS$11,379 (RM49,788).
"Menurut Bank Dunia, KDNK per kapita Malaysia pada tahun 2023 ialah AS$11,379.
"Apabila diselaraskan mengikut pariti kuasa beli, jumlahnya AS$36,416 (RM159,350), meletakkan Malaysia dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi," jelasnya menerusi hantaran di laman X pada Jumaat.
Terdahulu pengulas kontroversi itu sekali lagi menyerang Malaysia dengan membandingkan pendapatan per kapita isi rumah antara Malaysia dan AS.
O’Reilly mendakwa, statistik pendapatan per kapita isi rumah Malaysia ialah AS$5,731 (RM25,061) setahun manakala AS mencatatkan AS$42,220 (RM184,628).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan O'Reilly yang mendakwa Asia Tenggara 'tiada wang', sambil menyifatkan ia sebagai satu pandangan yang angkuh dan jahil.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenyataan itu bukan sahaja menunjukkan kejahilan O'Reilly terhadap realiti semasa Asia Tenggara, malah turut mencerminkan pemikiran sempit yang dipengaruhi sentimen perkauman dan ideologi penjajah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!