Enam kunci sebelum melangkah alam pernikahan
Perkahwinan bukan hanya lafaz akad, tetapi satu perjalanan panjang yang menuntut persediaan dari hati, ilmu dan tanggungjawab

MUSIM perayaan begitu sinonim dengan majlis perkahwinan dalam masyarakat kita, apatah lagi Syawal juga ialah bulan yang disunatkan untuk bernikah.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi Muhammad SAW menikahi Sayidatina Aisyah RA dalam bulan Syawal:
“Rasulullah SAW telah mengahwiniku pada bulan Syawal dan Rasulullah bersama denganku juga pada Syawal. Isteri Rasulullah mana yang lebih beruntung di sisi Rasulullah SAW daripadaku?” (Hadis Riwayat Muslim)
Menurut Imam An-Nawawi, sunat berkahwin pada bulan Syawal sepertimana yang disebutkan dalam hadis. Dalam persiapan melangkah ke alam pernikahan, wajar untuk setiap kita mengambil berat tentang enam perkara penting.
Masakan tidak, perkahwinan pada hakikatnya bukan sekadar cinta semata-mata, tetapi soal kehidupan yang boleh dirangkumkan sebagai FESIHK (fizikal, emosional, spiritual, intelektual, hala tuju dan kewangan):

1. Fizikal
Dalam Islam, menjaga kesihatan adalah amanah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya tubuh badanmu mempunyai hak ke atasmu." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kesihatan amat penting kerana ia berkait rapat dengan penyakit genetik dan gaya hidup. Di Malaysia, pasangan yang ingin berkahwin perlu menjalani ujian kesihatan praperkahwinan seperti human immunodeficiency virus (HIV) dan talasemia kerana dapat mengelakkan pihak lain berasa tertipu.
Mengikut Seksyen 53(1)(f), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, akad nikah boleh terbatal jika salah seorang pasangan sedang menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit.
2. Emosional dan mental
Kematangan emosi penting untuk mengawal emosi dalam rumah tangga.
Lihat bagaimana Nabi Muhammad SAW sentiasa menunjukkan keperihatinan terhadap emosi pasangan. Adakalanya Baginda diam dan rasional serta redakan keadaan dengan menasihati.
Bagi pasangan yang mempunyai masalah trauma atau isu mental, rawatlah terlebih dahulu sebelum berkahwin. Ingatlah, pasangan hidup bukanlah ‘penyelamat’, tetapi penyokong kita.
Perkahwinan perlu ilmu, persediaan
3. Spiritual: Agama dan nilai hidup
Antara ciri utama perlu dititikberatkan dalam mencari pasangan adalah mempunyai pegangan agama sepertimana Rasulullah SAW bersabda: “Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, kedudukannya (status), kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya beruntunglah kamu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Mengertilah, agama membentuk ibadah, akhlak dan keluarga bahagia. Namun, pemantapan agama perlu berlaku pada kedua-dua belah, bukan hanya mengharap pasangan yang soleh atau solehah, tetapi diri sendiri bagai tenggelam di lautan dunia. Bak kata pepatah ‘berjalan seiring, langkah tak sehaluan’.
Selain itu, nilai hidup seperti pendidikan anak, hubungan dengan keluarga mentua dan peranan dalam rumah tangga perlu dibincang agar sehaluan.
4. Intelektual: Ilmu rumah tangga
Fiqh Munakahat membicarakan hukum-hakam perkahwinan termasuk nafkah dan tanggungjawab suami isteri. Ilmu itu penting supaya pasangan sedar hak dan tanggungjawab masing-masing.
Imam Al-Ghazali menekankan keperluan itu dalam karyanya, Ihya’ Ulumuddin. Suami perlu tahu kewajipan memberi nafkah dan implikasi jika gagal termasuk hukuman undang-undang.
Isteri pula wajib taat kepada suami, memahami kemampuan sebenar suami dari sudut kewangan dan tanggungjawab.
Rancang masa depan, bukan sekadar majlis
5. Hala tuju
Perkahwinan bukan hanya untuk hari ini, tetapi jangka panjang. Perbincangan awal tentang hala tuju penting terutama bagi pasangan berkerjaya dari segi tempat tinggal, hubungan jarak jauh dan bilangan anak misalnya.
Kegagalan merancang umpama merancang untuk gagal. Jangan menganggap semuanya akan lancar sendiri. Lihat dalam sirah bagaimana Rasullullah SAW keluar berperang dengan tombaknya dan memakai baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda SAW juga memakai topi besi pada kepalanya.
Jelas, Nabi Muhammad SAW sendiri membuat persiapan sebelum berperang sebagai contoh pentingnya perancangan sebelum bertawakal.

6. Kewangan stabil
Perkahwinan memerlukan asas pengurusan ekonomi dan kewangan yang baik. Statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan seramai 57,835 pasangan bercerai pada tahun 2023 dan antara faktornya adalah kewangan.
Pasangan terutamanya suami perlu tahu untuk mencari rezeki, menjana pendapatan dan mengurus perbelanjaan keluarga. Sikap berhemah seperti ‘ukur di badan sendiri’ penting bagi mengelakkan beban hutang.
Ingatlah, perkahwinan bukan sekadar akad nikah dan resepsi. Ia permulaan kepada perjalanan panjang yang menuntut pengorbanan, kefahaman dan perancangan.
Dengan mengambil kira enam aspek itu, pasangan akan lebih bersedia untuk membina rumah tangga yang penuh sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (kerahmatan).
*Artikel ditulis oleh Ustaz Mohamad Omar Mansu, Eksekutif Pusat Islam dan Kebudayaan, Management and Science University (MSU)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!