Banjir kilat perlu penyelesaian menyeluruh

Banjir di Kampung Padang Jawa pada 11 April lalu.
Banjir di Kampung Padang Jawa pada 11 April lalu.
A
A
A

DALAM tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, kawasan Lembah Klang seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang telah dilanda banjir kilat akibat hujan lebat yang luar biasa.

Fenomena itu menyebabkan kesan yang besar termasuk kepada ekonomi, gangguan lalu lintas, kerosakan harta benda dan menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Antara punca utama banjir kilat disebabkan curahan hujan yang tinggi dalam tempoh singkat seperti berlaku di Selangor pada November 2024.

Hujan lebat berlarutan selama tiga jam menyebabkan paras air meningkat di beberapa kawasan. Terbaharu, sebanyak 80 rumah di Kampung Paya Jaras Hilir terjejas akibat banjir kilat pada Rabu.

Selain itu, sistem saliran yang tersumbat akibat sampah-sarap dan kurangnya penyelenggaraan turut menyumbang kepada masalah tersebut. Isu kebersihan dan pengurusan sisa menjadi perhatian utama. Longkang dan saliran yang tersumbat menghalang aliran air mengalir dengan lancar.

Sikap dan mentaliti menguruskan sampah atau sisa dalam kalangan rakyat negara ini juga menyumbang kepada isu banjir kilat yang kerap melanda jika hujan turun dalam jumlah tinggi.

Pembangunan pesat tanpa perancangan teliti terhadap sistem saliran dan infrastruktur hijau turut meningkatkan risiko banjir kilat, selain perubahan iklim yang menyumbang kepada peningkatan kejadian hujan lebat tidak menentu.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pendekatan holistik diperlukan seperti melaksanakan beberapa projek mitigasi banjir termasuk pembinaan kolam takungan, bertujuan mengurangkan impak banjir kilat terutama di kawasan bandar.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan teknologi saliran moden dan infrastruktur hijau seperti atap hijau serta taman hujan juga dilihat dapat dapat membantu mengawal aliran air hujan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula disarankan lebih proaktif melaksanakan kerja pemantauan dan pembersihan sistem saliran terutama di kawasan berisiko tinggi.

Banjir kilat merupakan cabaran yang memerlukan kerjasama, tindakan segera dan bersepadu daripada semua pihak.

Dengan pendekatan menyeluruh termasuk peningkatan kesedaran masyarakat, perancangan bandar yang mampan dan pelaksanaan teknologi moden, risiko banjir kilat dapat dikurangkan, seterusnya melindungi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!