Menang kotakan janji, kalah teruskan bakti

Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (lima dari kiri) bersama ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (empat dari kiri) meraikan kemenangan PRN Melaka Ke-16 di Dewan MITC Melaka pada Sabtu. Foto Bernama
Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (lima dari kiri) bersama ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (empat dari kiri) meraikan kemenangan PRN Melaka Ke-16 di Dewan MITC Melaka pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 membuka lembaran baharu apabila buat pertama kali Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara bersama menerajui pentadbiran negeri.

Kemenangan BN dengan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi PN membawa tanggungjawab besar untuk rakyat.

Manifesto bersama BN-PN mengandungi 113 inisiatif, antaranya bekalan air percuma bagi penggunaan domestik bawah 20 meter padu sebulan, penyediaan 25,000 rumah mampu milik dan 25,000 peluang kerja.

Gabungan itu turut menyasarkan pelaburan RM30 bilion dan kadar cukai tanah kekal selama lima tahun.

Pelaksanaan dijadualkan dalam tempoh 100 hari, setahun dan lima tahun membolehkan setiap komitmen dinilai secara terbuka berdasarkan kemajuan dan pencapaian sebenar.

Justeru, kerajaan negeri wajar memperincikan kemajuan, peruntukan dan hasil pelaksanaan supaya manifesto tidak sekadar menjadi dokumen kempen yang dilupakan selepas kemenangan diraikan.

Pada masa sama, mandat besar bukan alasan mengetepikan pandangan berbeza kerana setiap wakil rakyat bertanggungjawab terhadap seluruh penduduk tanpa mengira kecenderungan politik.

Bagi calon yang tewas, kekalahan tidak semestinya menamatkan khidmat kepada masyarakat.

Mereka masih boleh mendekati pengundi, menyantuni serta membantu menyalurkan aduan.

Artikel Berkaitan:

Empat wakil DUN Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai peranan penting melaksanakan semak imbang berkesan, manakala cadangan manifesto pihak yang tewas juga wajar diberikan pertimbangan.

Sebagai media arus perdana, Sinar Harian melaksanakan tanggungjawab melaporkan perkembangan pilihan raya, mengetengahkan tawaran parti serta menyampaikan suara rakyat secara adil.

Peranan itu akan diteruskan melalui pemantauan terhadap pelaksanaan manifesto, pencapaian kerajaan dan isu yang masih membelenggu masyarakat.

Kejayaan mesti dilaporkan, kelemahan tidak boleh disembunyikan dan setiap pihak sewajarnya diberikan ruang menjelaskan pendirian berdasarkan fakta.

Akhirnya, kemenangan memberikan kuasa mentadbir tetapi kepercayaan rakyat hanya dapat dipertahankan melalui amanah ditunaikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!