Semua sekolah di Kelantan diarah kemas kini peraturan asrama

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan mengarahkan kesemua 82 sekolah agama berasrama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengemaskini peraturan di asrama susulan insiden yang mengakibatkan seorang pelajarnya putus jari selepas mengubah suai mercun dalam kejadian 23 Mac lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, selepas kejadian berkenaan, pihak pengurusan sekolah turut melakukan pemeriksaan bagi memastikan kes tidak berulang.
Menurut beliau, walaupun kes itu terpencil tetapi pihaknya mengambil perhatian serius kerana melibatkan kecacatan kekal pelajar terbabit.
"Perkara ini tidak boleh dianggap ringan dan kita sentiasa melakukan perbincangan bersama pengurusan hal ehwal pelajar sekolah termasuk cadangan pihak luar berkaitan disiplin pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bagi Sekolah-Sekolah Yayasan Islam Kelantan Tahun 2025.
Wan Roslan menjelaskan, pegawai YIK yang melakukan lawatan ke rumah pelajar berkenaan memaklumkan mereka masih dalam pemantauan dan pemeriksaan berkala pihak hospital.
Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar di sebuah sekolah agama di Jeli melecur termasuk seorang daripada mereka putus jari tangan dipercayai memasukkan belerang mercun ke dalam botol bersama batu kerikil.
Pelajar berusia berusia 15 dan 16 tahun itu dikatakan bermain mercun di asrama lelaki sekolah terbabit.
Wan Roslan turut memberitahu, menjadi peraturan sekolah mercun tidak dibenarkan dibawa masuk ke sekolah atau asrama.
"Mercun dijual pada musim perayaan dan mereka membawa masuk ke asrama tanpa pengetahuan pihak pengurusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!