10 sekolah agama di Melaka cemerlang SPM 2024

MELAKA - Sekolah aliran agama di negeri ini mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan pencapaian cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada Khamis.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada 18 buah sekolah yang mencatatkan keputusan 100 peratus layak menerima sijil di negeri ini, 10 daripadanya adalah sekolah aliran agama yang berada di ketiga-tiga daerah termasuk kawasan luar bandar.

Menurutnya, kejayaan itu secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan prestasi negeri bagi keputusan peperiksaan utama itu secara keseluruhan termasuk sekolah di daerah Jasin.
"Ini membuktikan sekolah agama juga tidak lagi dilihat ketinggalan, malah mampu bersaing dan mengatasi sekolah aliran lain dalam akademik termasuk sekolah agama di kawasan luar bandar.
"Kebanyakan sekolah agama ini terletak di daerah Jasin dan berstatus sekolah luar bandar," katanya ketika sidang akhbar pengumuman keputusan SPM Melaka 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rosli Abdullah dan Pengarah Pendidikan Negeri, Mahfudzah Mohamed Noor.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, keputusan keseluruhan menunjukkan Negeri Melaka mencatat Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.43 berbanding 4.59 pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 0.16 mata sekaligus pencapaian terbaik sejak tahun 2013.
“Antara sekolah agama yang tersenarai sebagai sekolah cemerlang termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, SMKA Sultan Muhammad, Sekolah Menengah Agama JAIM Al Ahmadi, SMA JAIM Al-Asyraf dan Sekolah Menengah Agama Al-Ehya Al-Karim m,” katanya lagi.
Seramai 13,311 calon di negeri ini telah menduduki peperiksaan itu yang bermula pada 2 Disember 2024 hingga 6 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

