Kekuatan sebenar PKR dibentuk suara rakyat, bukan nama atau gelaran

Jonathan Vela
Jonathan Vela
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan calon-calon baharu mengatasi tokoh-tokoh besar dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sesi 2025-2028 menjadi bukti bahawa kekuatan sebenar parti itu terletak pada suara rakyat, bukannya pada nama atau gelaran.

Naib Ketua PKR Cabang Bandar Tun Razak, Jonathan Vela berkata, fenomena 'kepala tanpa badan' atau 'badan tanpa kepala' yang berlaku dalam pemilihan PKR ketika ini adalah manifestasi suara akar umbi kini yang jelas memainkan peranan penting dalam menentukan barisan kepimpinan yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

Beliau turut menyifatkan kekalahan ramai tokoh lama parti kepada muka baharu sebagai bukti kukuh amalan demokrasi dalam PKR.

“Ini jelas membuktikan bahawa PKR adalah sebuah parti yang benar-benar demokratik.

"Ahli mempunyai hak sepenuhnya untuk memilih pemimpin yang benar-benar turun ke akar umbi, yang bekerja bersama rakyat tanpa mengira bangsa atau agama.

"Inilah kekuatan sebenar PKR – kepimpinan yang dibentuk oleh suara rakyat, bukan oleh nama atau gelaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Jonathan, fenomena 'kepala tanpa badan' atau 'badan tanpa kepala' yang berlaku dalam pemilihan PKR ketika ini adalah manifestasi suara akar umbi yang mahukan barisan kepimpinan yang benar-benar bekerja.

“Dalam setiap proses pilihan raya atau pemilihan parti, rakyatlah yang menjadi penentu sebenar.

"Mereka berhak memilih pemimpin yang benar-benar mendengar suara mereka, yang komited untuk membawa perubahan bermakna, dan yang bekerja tanpa jemu untuk komuniti,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Jonathan turut menyeru seluruh ahli parti agar terus bersatu dan memperkukuh perpaduan dalam meneruskan agenda reformasi di setiap peringkat, baik di peringkat cabang mahupun nasional.

Beliau turut menyuarakan rasa bersyukur kepada ahli-ahli PKR yang memberikan kepercayaan kepadanya dalam pemilihan kali ini.

Ujarnya, kemenangan ini bukan sekadar kejayaan individu, malah merupakan cerminan harapan masyarakat terhadap masa depan yang lebih adil dan inklusif.

“Terima kasih kepada semua yang telah bekerja keras menjayakan kempen ini, serta kepada setiap ahli yang telah memberikan kepercayaan kepada saya dalam pemilihan kali ini. Sokongan anda amat saya hargai dan tidak akan saya persiakan.

“Saya berikrar untuk memikul amanah ini dengan penuh integriti, ketelusan dan komitmen. Perjuangan kita masih panjang, tetapi bersama-sama, kita mampu merealisasikan impian rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Bandar Tun Razak tanpa bertanding, serta Timbalan Ketua Cabang, Kuek Po Guan yang mencatat kemenangan bergaya dengan majoriti undi memberangsangkan.

“Kemenangan mereka membuktikan keyakinan berterusan ahli terhadap kepimpinan yang berwibawa dan berdaya saing.

"Saya amat menantikan kerjasama erat bersama mereka demi memacu cabang ini ke arah yang lebih gemilang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!