Tujuh negeri kemukakan bantahan ‘tangan ghaib’

SHAH ALAM - Calon tewas di tujuh negeri dalam pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 perlu mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Rahman berkata, tujuh negeri tersebut melibatkan Selangor, Perlis, Pahang, Sabah, Johor, Melaka dan Kedah.
Ini kerana katanya, calon tewas di tujuh negeri itu melihat corak pemilihan tersebut tidak normal dan bersetuju dengan dakwaan bahawa berlaku campur tangan pihak tertentu dalam keputusan berkenaan.
“Kedah antara yang paling awal menghubungi saya dan menyuarakan perkara tersebut, cuma mereka tidak berani hendak bersuara di media.
“Saya ada buat bantahan pada Rabu dan dimaklumkan bahawa negeri lain juga melakukan perkara sama.
“Pola pengundian pengundian kali ini bukan sahaja dilihat pelik di Selangor tetapi di seluruh negeri, menyebabkan kami setuju mengatakan wujud ‘tangan ghaib’ yang mencatur keputusan ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Faizal sebelum ini tewas kepada Sivabalan Mugunthan dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor.
Mohd Faizal yang juga seorang peguam berkata, kepimpinan parti perlu memainkan peranan dalam mengatasi isu tersebut bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap integriti pemilihan berkenaan tidak terjejas.
Beliau juga tidak terkejut sekiranya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) membincangkan mengenai isu tersebut dalam mesyuarat pada Rabu.
“Pemilihan kali ini ditolak sepenuhnya oleh negeri yang terlibat. Jadi, harapan saya supaya keputusan pemilihan tersebut dibatalkan.
“Itu harapan saya dan negeri yang telah menyuarakan bantahan bagi mengembalikan semula sokongan akar umbi terhadap kepimpinan dalam konteks pemilihan berkenaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

