Beras Kelantan tiada campuran

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan mengekalkan keaslian pengeluaran hasil beras dari negeri ini bagi memastikan tidak berlaku beras campuran import dan tempatan.
Exco Pertanian, Industri, Agro Makanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, pihaknya sudah berbincang dan mengatur strategi untuk beras tempatan yang diproses di kilang milik kerajaan negeri tiada campuran beras lain.
"Kita akan melakukan proses beras serta dikampitkan dengan jenama Darul Naim," katanya ketika menjawab soalan tambahan Harun Ismail (Pas-Tawang).
Harun ingin tahu mengenai jaminan kerajaan negeri Kelantan supaya pengeluaran padi di Kelantan telus dan tidak mahu digemparkan dengan beras campuran antara beras tempatan dan import seperti yang berlaku di Malaysia sebelum ini.
Tuan Mohd Saripuddin juga memberitahu, beras yang dikeluarkan di Kelantan sudah digunakan di seluruh negara walaupun kilang yang dinamakan Kilang Padi dan Beras Darulnaim Sdn Bhd di Meranti, Pasir Mas belum siap sepenuhnya.
Menjawab soalan Mohd Adanan Hassan (Pas- Kelaboran) mengenai usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan Kelantan dapat mengeluarkan beras sendiri, Tuan Mohd Saripuddin berkata, Ahad ini akan diadakan solat hajat sempena kilang berkenaan memulakan pembelian padi untuk diproses.
Beliau berkata, kapasiti pengeluaran kilang berkenaan dianggarkan sebanyak 600 tan metrik sehari dengan simpanan padi kering melebih 40,000 tan metrik.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengeluaran padi tahun ini akan meningkat dan mencukupi ekoran cuaca yang agak baik.
"Maklumat yang kita terima sebanyak lebih 90 peratus daripada kawasan padi di Kelantan ditanam padi dan cuaca baik membantu petani mendapatkan hasil lebih banyak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
