SPM 2024: Peratusan calon tidak hadir menurun

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menyaksikan penurunan jumlah calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tidak menghadiri peperiksaan tersebut sebanyak 0.7 peratus.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, pihaknya merekodkan ketidakhadiran calon seramai 6,246 berbanding tahun lalu 8,676 orang.
Menurutnya, penurunan sebanyak 2,430 calon itu hasil daripada keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi yang dilaksanakan oleh KPM.
"Saya hendak memberikan penjelasan bahawa berlakunya penurunan ini adalah disebabkan oleh usaha secara berterusan oleh KPM untuk mengatasi isu berkaitan dengan ketidakhadiran calon-calon dalam peperiksaan SPM," kata beliau menerusi sidang akhbar keputusan SPM 2024 di sini pada Khamis.
Ujar beliau antara usaha yang dilakukan KPM adalah mengaktifkan pasukan petugas khas Intevensi Murid Berisiko yang dilaksanakan di semua negeri, daerah dan sekolah.
Di samping itu juga, KKM turut melaksanakan program Ziarah Cakna untuk membawa kembali para pelajar ke sekolah.
"Pemantauan harian juga dilakukan oleh pihak sekolah selain pengesanan awal berkaitan dengan risiko keciciran murid di Tingkatkan 4 dilaksanakan.
"Jadi kita lihat ada berlakunya penurunan secara signifikan," jelas Azman.
Tambah beliau, hasrat KPM adalah untuk memastikan kehadiran calon SPM 100 peratus dengan melaksanakan rang undang-undang (RUU) pendidikan wajib menengah bagi rakyat Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun.
"Jadi isu-isu berkaitan dengan ketidakhadiran SPM dan sebagainya, Insya-ALLAH akan dapat ditangani dengan sebaik-baiknya," katanya.
Ditanya mengenai faktor ketidakhadiran, Azman menjelaskan 57.8 peratus calon tidak hadir disebabkan bekerja.
"Mereka bekerja kerana tuntutan ekonomi keluarga, tarikan gaya hidup dan pelbagai macam lagi seperti jawpaan yang telah dibentangkan di Parlimen," katanya.
Ujarnya, 35.5 peratus calon tidak hadir menghadapi masalah berkaitan keluarga dan 4.7 peratus lagi menghadapi masalah kesihatan.
"Selebihnya adalah disebabkan faktor lain," katanya.
Sementara itu, sejumlah 1,789 calon peperiksaan SPM 2024 gagal dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
Jumlah itu meningkat berbanding tahun 2023 yang merekodkan sebanyak 1,470 calon.
Azman berkata, pihaknya akan melaksanakan analisis menyeluruh berhubung faktor yang benar-benar signifikan yang menyebabkan berlakunya kegagalan kepada calon.
“Antara faktor yang menyumbang kepada hal ini termasuklah calon yang tidak memberikan fokus kepada proses pembelajaran, sebahagian besar mereka ini bekerja pada waktu malam terutama calon-calon yang berada di kawasan bandar.
“Ada sedikit juga calon yang menghadapi masalah literasi dan numerasi yang tidak ditangani lebih awal sekurang-kurangnya sokongan daripada persekitaran pembelajaran di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPM sedang menilai pendekatan bagi calon SPM 2025 terutamanya memperkukuhkan program pemulihan berkaitan dengan keupayaan anak-anak untuk menganalisis.
"Intervensi lanjutan ini penting untuk mengelakkan keciciran akademik berulang dalam kalangan murid yang memerlukan bantuan khas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

