SPM 2024: Cemerlang walaupun jawab peperiksaan ketika banjir

KOTA BHARU - Seramai 80 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sekolah agama di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) mendapat keputusan cemerlang walaupun menjalani peperiksaan ketika bencana banjir.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, 11 daripada mereka mendapat 12A manakala 10 calon memperoleh 11A.
Menurut beliau, seramai 28 calon pula mendapat 10A dan 31 calon mendapat 9A.
"Kita yakin calon SPM tahun lalu mempunyai motivasi tinggi untuk berjaya walaupun terpaksa menempuh kesukaran belajar dan menjalani peperiksaan dalam suasana banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bagi Sekolah-Sekolah Yayasan Islam Kelantan Tahun 2025.
Katanya lagi, pelajar yang cemerlang itu juga mampu menghafaz al-Quran dan menguasai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Roslan memberitahu, seramai 5090 pelajar daripada 82 sekolah YIK menduduki SPM tahun lalu.
Jelasnya, jumlah calon juga menurun seramai 430 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu 5520.
"Bagaimanapun, peratus kelulusan didapati meningkat sebanyak 0.86 peratus dan analisis lengkap sebanyak 42 sekolah mencatat keputusan kelulusan 100 peratus," katanya.
Tambah Wan Roslan, berdasarkan gred purata sekolah (GPS), tiga buah sekolah cemerlang ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah dengan GPS 1.68 dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat mendapat keputusan GPS 1.90 manakala GPS 2.34 untuk Maahad Sains Tok Guru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!