Duta ke AS: Kalau mahu lantik ahli politik, tiga tokoh ini paling sesuai

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga nama dalam kalangan ahli politik yang difikirkan paling layak untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) ialah dua bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, 81, dan Tan Sri Rais Yatim, 83, serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, 91.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ia mengambil kira pengalaman luas mereka dalam proses perundingan dan perhubungan antarabangsa ketika memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, ini kerana peranan Duta Besar Malaysia ke AS penting dalam memastikan hubungan dua hala Malaysia dan AS sentiasa terjaga terutama dari segi perdagangan.

“Kalau mahu lantik ahli politik sebagai duta ke AS, saya lihat calon itu haruslah seorang tokoh yang disegani dan mempunyai hubungan antarabangsa yang baik.

“Oleh sebab itu, kalau lantik figura-figura ini sudah pasti tiada sebab untuk orang awam menyangkal pilihan berkenaan memandangkan mereka ini mempunyai kredibiliti berbanding tokoh kontroversi.

“Bagaimanapun, saya berpendapat duta ke AS haruslah dilantik dalam kalangan diplomat yang sudah lama bersama dengan Wisma Putra berbanding ahli politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Duta Besar Malaysia ke AS sebelum ini disandang bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk tempoh dua tahun bermula 9 Februari 2023.

“Situasi semasa di bawah pentadbiran terkini AS memerlukan duta yang cekap bukan sahaja mengenai perang tarif tetapi juga perkara terkait dengan isu keselamatan dan hak asasi manusia,” ujarnya.

Beberapa nama lain yang pernah disebut-sebut termasuklah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 April lalu, Perdana Menteri mengesahkan calon Duta Besar Malaysia ke AS yang baharu telah mendapat perkenan Agong dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!