Siapa paling layak ganti Tengku Maimun?

SHAH ALAM – Institusi kehakiman negara bakal berdepan cabaran besar apabila sembilan daripada 14 hakim tertinggi dijangka menamatkan perkhidmatan pada tahun ini selepas mencapai umur persaraan mandatori 66 tahun.
Antara yang bakal bersara termasuk empat tokoh utama institusi kehakiman, iaitu Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim; serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Paling menjadi tumpuan ialah pemilihan Ketua Hakim Negara yang baharu kelak, apabila penyandangnya, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bakal bersara pertengahan tahun ini.
Salah seorang calon berpotensi menggantikan Tengku Maimun ialah Abang Iskandar yang akan mencapai umur persaraan wajib hakim pada 1 Julai, tetapi dijangka menerima lanjutan enam bulan tempoh perkhidmatannya daripada Yang di-Pertuan Agong, menurut sumber sebuah portal berita.

Jika dilantik, Abang Iskandar, pemegang jawatan kedua paling kanan badan kehakiman sekarang, akan menjadi hakim pertama dari Sarawak menjawat jawatan tertinggi itu.
Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hakim mahkamah atasan hendaklah memegang jawatan sehingga umur 66 tahun, tetapi tempoh perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan sehingga enam bulan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Difahamkan Hakim Mahkamah Persekutuan yang baru dilantik, Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh, 57, adalah calon utama untuk menggantikan Abang Iskandar sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, peguam A Surendra Ananth berkata, proses pemilihan Ketua Hakim Negara bukan hanya bersandarkan kelayakan akademik atau pengalaman semata-mata, tetapi turut memerlukan kualiti kepimpinan yang tinggi.
Katanya, kriteria rasmi pelantikan itu kelak akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), namun pada pendapatnya, aspek kepimpinan bakal menjadi pertimbangan utama. Ini kerana kata beliau, Ketua Hakim Negara akan menjadi rujukan kepada hakim-hakim lain.
“Semua ternanti-nanti nama calon yang bakal menggantikan Tengku Maimun, yang akan dicadangkan oleh JAC kepada Perdana Menteri mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai legasi Tengku Maimun, Surendra menyifatkan beliau sebagai simbol kebebasan institusi kehakiman negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, selaku seorang hakim, seseorang perlu meletakkan pendapat peribadi di luar mahkamah dan memutuskan sesuatu kes berlandaskan undang-undang sedia ada.
“Bukan mudah untuk membuat keputusan dalam mana-mana kes, terutamanya isu sensitif seperti politik dan agama.
“Tengku Maimun sentiasa memutuskan kes sensitif berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, walaupun ada tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadapnya,” kata beliau.
Bagi Surendra, Tengku Maimun telah menetapkan satu ‘standard emas’ kepada Ketua Hakim Negara yang akan datang, bahawa prinsip keadilan dan kebebasan kehakiman mesti dikekalkan dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
Dalam pada itu, peguam Fahri Azzat menyokong pendirian Tengku Maimun bahawa campur tangan politik tidak sepatutnya dikaitkan dengan pelantikan Ketua Hakim Negara.
Katanya, ini termasuk konteks pelantikan jawatan lain, sekiranya pemisahan antara Peguam Negara dan Ketua Pendakwa Negara berlaku.
Menurutnya, proses pemilihan calon pengganti Tengku Maimun kelak, akan menjadi tumpuan pelbagai pihak kerana tokoh yang dicadangkan bakal menjadi sorotan dalam setiap kes yang dikendalikannya.
Justeru itu beliau berkata, integriti yang tinggi menjadi salah satu elemen penting dalam pemilihan calon Ketua Hakim Negara.
Menurutnya, jawatan itu wajar dipegang oleh seorang yang berpengalaman dalam bidang kehakiman dan dihormati bukan sahaja dalam kalangan hakim-hakim malahan peguam.
“Lantikan baharu kelak, selayaknya daripada barisan hakim-hakim yang sudah lama berkhidmat di Mahkamah Persekutuan.
“Lantikan daripada kalangan Hakim Mahkamah Persekutuan adalah pilihan terbaik bagi memastikan keharmonian dan kredibiliti institusi kehakiman.
“Ini kerana perkhidmatan mereka bukan bersandarkan percaturan politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!