Tenggiling cuba diseludup untuk makanan eksotik

Maritim Malaysia berjaya menggagalkan cubaan menyeludup tenggiling sebagai haiwan dilindungi di negeri ini.
Maritim Malaysia berjaya menggagalkan cubaan menyeludup tenggiling sebagai haiwan dilindungi di negeri ini.
A
A
A

KUDAT - Cubaan satu sindiket menyeludup tenggiling yang dipercayai untuk dijadikan hidangan eksotik di negara jiran gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat menahan sebuah bot dalam operasi khas di perairan Selat Malawali, Pitas, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, sebanyak 100 kilogram tenggiling beku ditemukan bersama kima di dalam bot berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, rampasan tersebut adalah hasil risikan Unit Perisikan Maritim Malaysia yang mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan perairan terbabit.

"Bertindak atas maklumat, bot peronda Kilat 48 yang sedang menjalankan operasi digerakkan ke lokasi sebelum mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap pada jarak kira-kira 1.8 batu nautika barat laut Tanjung Layang-Layang, Pitas.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada individu berada di atas bot terbabit, namun penggeledahan lanjut menemukan barangan yang mengejutkan iaitu lima kotak polisterin mengandungi tenggiling beku dengan anggaran berat 100 kilogram dan 20 kotak polisterin berisi kima beku kira-kira 500 kilogram serta lapan guni kima kering seberat 200 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, semua haiwan berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dan untuk dijadikan makanan eksotik.

"Difahamkan, haiwan ini dijadikan sebagai makanan eksotik dan produk haiwan liar terlarang mempunyai permintaan tinggi di negara jiran," katanya.

Hasbullah turut memaklumkan, bot bersama barang rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 telah dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Perikanan 1985 kerana melibatkan cubaan penyeludupan haiwan spesies terancam serta pengendalian hasil laut tanpa kebenaran sah," katanya.

Artikel Berkaitan:


Sisik tenggiling lebih bernilai banding daging-JHL

KOTA KINABALU-Tenggiling yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kudat pada Selasa lalu, dipercayai bukan untuk tujuan eksport ke negara luar.

Sebaliknya, sisik haiwan itu yang menjadi buruan sindiket penyeludupan kerana mempunyai nilai yang tinggi untuk dijual di pasaran gelap luar negara.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, andaian itu dibuat berdasarkan cara pembungkusan tenggiling terbabit yang tidak menyerupai kaedah biasa penghantaran eksport.

"Cara pembungkusannya bukan untuk eksport, sebab kalau eksport dagingnya akan dibungkus dengan sempurna menggunakan plastik.

"Dalam rampasan itu tidak, sebaliknya hanya dimasukkan ke dalam polisterin mungkin untuk pengguna berhampiran dan biasanya dagingnya dimakan tetapi sebenarnya ia tidak mahal, yang mahal adalah sisiknya.

"Sebab itu dalam rampasan tersebut hanya dagingnya saja, sisiknya sudah dikeluarkan dipercayai untuk dijual di pasaran gelap dengan harga yang tidak menentu, boleh naik dan turun tetapi selalunya tinggi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Hari Hidupan Liar Sedunia, di sini pada malam Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut berhubung rampasan itu agak mencabar kerana tiada suspek ditahan dan hanya barang kes serta bot yang ditemukan.

"Ada rampasan tetapi tiada tangkapan, jadi kalau kes seumpama ini perlu siasatan lanjut tetapi agak sukar sebab bot yang dirampas itu tidak pasti berdaftar atau tidak.

"Itu saja petunjuk yang kita ada, kalau setakat barang rampasan saja ia agak sukar," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Rabu melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat berjaya merampas sebanyak 100 kilogram tenggiling beku di perairan Selat Malawali, Pitas, Kudat, yang mana haiwan ini adalah antara yang dilindungi.

Daging tenggiling itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran untuk dijadikan sebagai makanan eksotik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!