Cubaan seludup set pemutih kulit tiada kelulusan KKM dari negara jiran gagal

Antara barangan kosmetik yang diseludup masuk ke Semporna dari negara jiran.
Antara barangan kosmetik yang diseludup masuk ke Semporna dari negara jiran.
A
A
A

SEMPORNA – Set pemutih kulit antara bahan kosmetik yang berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu serbuan cubaan menyeludup barangan tersebut ke negeri ini melalui perairan Semporna pada Selasa.

Barangan kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan secara haram di kawasan tempatan.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan dijalankan menerusi Ops Taring di kawasan perairan Tanjung Menimpah, Pulau Bum-Bum, kira-kira jam 8.45 pagi.

"Hasil operasi, terdapat sebuah bot dirampas dan pemeriksaan lanjut telah menemui pelbagai barangan kosmetik di dalamnya dipercayai diseludup dari negara jiran.

"Kesemua barangan yang bernilai RM21,375 itu dirampas untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kastam 1967, selain dirujuk kepada pihak KKM," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, rampasan itu menggambarkan komitmen berterusan pihak PPM dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan, tidak kira apa jenis barangan sekalipun.

"Ini demi keselamatan dan kesejahteraan negara bagi membanteras barangan terlarang masuk ke negeri ini," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!