Sindiket MBI tiru ekosistem sah untuk tipu pelabur

KUALA LUMPUR – Sindiket skim ponzi terkenal, MBI dikesan cuba mencipta ekosistem pelaburan baharu dengan menawarkan mata ganjaran yang boleh ditebus untuk barangan seperti tayar kereta atau peralatan elektrik.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, barangan tersebut hanya boleh ditebus di premis milik sindiket itu sendiri.
“Modus operandi ini bertujuan meyakinkan pelabur bahawa pelaburan mereka sah dan relevan, agar mereka terus menyertai skim ini,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa dalang utama sindiket telah ditahan di China dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurutnya, setakat ini, RM3.51 bilion aset telah dibekukan dan disita, termasuk tiga dusun durian, hotel, syarikat pemaju dan kilang memproses kelapa sawit.
Beliau berkata, sindiket tersebut terbongkar menerusi Operasi Op Northern Star yang dijalankan antara 21 Mac hingga 21 April lalu di sekitar Lembah Klang dan utara Semenanjung.
Dalam operasi itu, 13 individu termasuk ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri berusia antara 32 hingga 67 tahun telah ditahan.
Media sebelum ini melaporkan lebih 11 juta mangsa dari negara jiran menjadi mangsa skim penipuan pelaburan MBI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
